Anda di sini

Penduduk dan pelajar sekolah di Nanga Sumpa kini mempunyai Internet

Advertisement
Keratan akhbar muka depan Utusan Borneo pada 19 November 2020.
Keratan akhbar muka depan Utusan Borneo pada 19 November 2020.

KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) melancarkan satelit jalur lebar yang merupakan penyelesaian sambungan Internet daripada Reach 10 bagi menangani masalah dihadapi pelajar-pelajar sekolah Nanga Sumpa, Lubok Antu.

Dengan adanya Terminal Satelit Apertur Sangat Kecil (VSAT), pelajar-pelajar sekolah di Nanga Sumpa kini dapat meneruskan pembelajaran dalam talian manakala penduduk kampung dapat menikmati kemudahan Internet.

Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak berkata pihaknya menyedari bahawa terdapat banyak kawasan di Sarawak terutama di kawasan luar bandar yang belum mendapat liputan komunikasi komprehensif dan stabil akibat cabaran geografi dan teknikal. 

"Sebagai kesinambungan dari inisiatif ini dan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, SMA akan berusaha melancarkan Projek Multimedia Menghubungkan Urban, Rural and Nation (SALURAN) 200 yang menyasarkan kampung seperti Nanga Jambu menjelang Februari, tahun depan," katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Reach 10 Leo Chin berkata pihaknya sedar bahawa mereka mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah ketersambungan dengan cepat. 

"Kami gembira kerana dapat menyajikan perbezaan kepada mereka dan penduduk kampung di sana," katanya. 

Nanga Sumpa merupakan destinasi ekopelancongan utama di Sarawak sejak dulu lagi dan terkenal dengan inisiatif pelancongan komuniti, landskap indah dan pengalaman melihat orangutan liar.

Perjalanan menggunakan bot ke sana mengambil masa selama sejam setengah dari Tasik Batang Ai kerana ketiadaan jalan raya.

Terdahulu, berita mengenai seorang guru yang mengambil inisiatif untuk memimpin sekumpulan pelajar sekolah rendah dan menengah dari kampungnya di Nanga Sumpa dan Nanga Jambu berdekatan Lubok Antu untuk meredah hutan demi mendapatkan liputan internet yang baik, tular di media sosial. 

Sambau Dugat, guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Antu, memaklumkan bahawa beliau nekad membuat perjalanan itu setelah melihat pelajar dari kampungnya kerap melakukan perjalanan sendiri untuk mendapatkan kemudahan internet.

Jelas Sambau juga, liputan internet merupakan masalah utama di kawasan dan kampungnya. 

Beliau juga memaklumkan tiada kemudahan internet yang baik buat masa ini dan pelajar dari kampungnya sangat memerlukannya untuk membantu mereka dalam pelajaran.

  • oleh
  • Advertisement