Anda di sini

Ibu bapa yang bekerja amat memerlukan perkhidmatan taska dan tadika

Advertisement
 Fatimah ketika berkunjung ke sebuah taska swasta, hari ini. Gambar Muhammad Rais Sanusi
Fatimah ketika berkunjung ke sebuah taska swasta, di sini hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi.

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak memantau rapat taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) yang kini dibenarkan beroperasi dalam Zon Merah COVID-19.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ia bagi memastikan taska dan tadika berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata taska dan tadika dibenarkan beroperasi dalam Zon Merah COVID-19 kerana perkhidmatannya amat diperlukan terutama di kalangan ibu bapa yang bekerja.

"Ada segelintir pihak bertanya kenapa taska dan tadika dibenarkan dibuka di Zon Merah, ini kerana ia perkhidmatan penting.

"Ada anak-anak yang ibu bapa bekerja sebagai petugas barisan hadapan dan tidak ada orang menjaga anak-anak mereka, ada juga ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan penjagaan kerana kedua-duanya bekerja," katanya ketika ditemui semasa melakukan pemeriksaan di sebuah taska swasta di sini hari ini.

Fatimah berkata kementeriannya akan memastikan ibu bapa mengisi borang pengisytiharan kesihatan dan memeriksa suhu badan anak-anak sebelum memasuki taska atau tadika.

Beliau menambah, pemantauan akan memastikan kanak-kanak dijaga baik dalam persekitaran yang selamat dengan penjarakan fizikal dipatuhi ketika waktu makan dan tidur, alat permainan dan peralatan lain disanitasi kerap.

Setakat ini, katanya beliau berpuas hati dengan pengurusan taska dan tadika yang melakukan terbaik dalam memastikan kanak-kanak di bawah jagaan mereka selamat.

Pada masa sama, Fatimah mengingatkan ibu bapa dan ahli keluarga agar mematuhi SOP apabila mereka terpaksa keluar rumah bagi mengurangkan risiko anak-anak dijangkiti COVID-19.

Di Daerah Kuching, terdapat 160 taska beroperasi melibatkan 1,770 kanak-kanak sementara di zon kuning iaitu Miri dan Limbang 62 taska membabitkan 1,498 kanak-kanak baki 108 lagi di zon-zon hijau di seluruh negeri dengan 2,245 kanak-kanak.

Beliau memberitahu beberapa lagi taska akan dibuka semula pada minggu depan.

"Perniagaan melibatkan kanak-kanak tidak seperti perniagaan lain yang menawarkan perkhidmatan. Perniagaan ini tidak memberi keuntungan yang besar. Mereka sangat meminati tugas. Ini membolehkan mereka membimbang anak-anak ini dengan penuh kasih sayang.

"Perkhidmatan mereka memberi manfaat kepada orang awam seperti doktor, sektor-sektor tertentu dan ini adalah perkhidmatan sokongan yang pening kepada kumpulan ibu bapa ini," ujarnya.

Advertisement