Anda di sini

Enam warga asing didenda RM80 ribu kendali judi dalam talian

Advertisement
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

KUCHING: Enam warga Indonesia masing-masing didenda RM80,000 di Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah mengendalikan aktiviti judi dalam talian di sebuah rumah teres tiga tingkat di sini pada 28 Oktober lalu.

Majistret Zaiton Anuar juga menetapkan Eric Sanjaya, Lusiana, Liaw Chui Jung, Frankie, Stefanus Sanjaya dan Cellin Agustin, yang berusia antara 19 hingga 24 tahun itu dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Sementara itu rakan mereka, dua lelaki warga tempatan iaitu Lee Kok Kuah, 25 dan Phang Yee Chun, 26, serta enam warga Indonesia lain masing-masing mengaku tidak bersalah apabila didakwa melakukan kesalahan sama.
 
Tertuduh warga Indonesia yang berusia antara 19 hingga 29 tahun terdiri daripada Lim Mi Cin, Arpen Donius, Devi Andayani, Yuda Istianto, Fendi Tjhong, Hendro. 

Mengikut pertuduhan, sepuluh lelaki dan empat wanita tersebut didakwa mengendalikan kegiatan judi dalam talian dengan menggunakan lapan komputer pada 28 Oktober lalu, pada kira-kira jam 3 petang di sebuah rumah di Jalan Benggang.

Polis turut merampas beberapa komputer, modem dan telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 bagi setiap mesin judi dan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. 

Dalam pada itu, Zaiton menetapkan 7 Januari 2021 untuk pengurusan kes serta membenarkan Lee dan Phang dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

Bagi tertuduh warga Indonesia pula, empat daripada mereka dibebaskan dengan ikat jamin tunai RM3,000 sementara dua yang lain direman lanjut di lokap polis sehingga sebutan kes berikutnya.

Lee dan Phang diwakili peguam, Lim Lian Kee manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.

  • oleh
  • Advertisement