Anda di sini

Elemen ‘Grit’ bantu pacu kejayaan masa depan anak-anak

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Secara realitinya, kebanyakan ibu bapa di Malaysia begitu mementingkan pencapaian akademik anak hingga ada antara mereka tanpa disedari mengabaikan perkembangan karakter dan nilai-nilai insaniah yang lebih penting dalam memacu kejayaan masa depan anak-anak mereka.

Dalam usaha berterusan untuk meraih kepercayaan bahawa sukan adalah ‘guru’ terbaik dalam pengajaran nilai-nilai kehidupan, MILO® baru-baru ini menjalankan sebuah kajian dalam kalangan pendidik dan majikan.

Kajian itu dipanggil The Grit Advantage yang bertujuan menyingkap ramuan utama yang membezakan seorang individu yang benar-benar berjaya dengan individu lain. Sebanyak 80 peratus pendidik dan majikan menyatakan bahawa ‘Grit’ sebagai faktor penentu yang akan membawa anak-anak kita menuju kejayaan yang besar dan berkekalan pada abad ke-21.

Grit adalah satu perkataan bahasa Inggeris yang bermaksud minat dan kesungguhan seseorang untuk melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidup dalam jangka masa yang panjang. Ia meliputi sikap tidak pernah berputus asa, bersemangat dan sikap seorang juara seperti berani, tekad apabila melakukan sesuatu, mempunyai ketahanan tinggi, minat yang mendalam, berazam tinggi dan cemerlang.

 

Pakar akademik Amerika, Angela Duckworth menyifatkan Grit adalah keupayaan seseorang yang mampu berpegang teguh untuk mencapai matlamat yang diinginkan dalam satu tempoh yang panjang sekali gus menjadi penanda aras untuk berjaya dalam hidup.

Melalui The Grit Advantage oleh MILO® ini telah merangkumi sikap dan tingkah laku pelajar serta golongan profesional generasi muda masa kini sekali gus melihat pada kesannya terhadap cara mereka melihat dan mencapai kejayaan pada masa depan.

Pegawai Eksekutif Perniagaan MILO®, Nestlé (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen berkata, selama 70 tahun ini, matlamat mereka adalah untuk memastikan rakyat Malaysia untuk terus bergerak maju.

“Ketidakpastian dan cabaran daripada masa yang tidak pernah berlaku sebelumnya ini telah membuka jalan kepada kita untuk menemukan Grit. Ia sebagai elemen penting dalam perkembangan anak yang akan membantu mereka bertahan dan mampu melalui apa sahaja yang menanti mereka.

“Menerusi The Grit Advantage, kami harap untuk dapat menjadikannya sebagai topik perbualan dengan melibatkan pakar dalam sektor pendidikan dan pekerjaan.

“Kami juga berhasrat untuk memperkasa peranan kami sebagai rakan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak mereka dengan elemen Grit, tanpa mengira apapun minat mereka.

“Oleh itu, kami juga mahu memberi maklumat dan inspirasi kepada ibu bapa untuk mereka meletakkan asas dan memelihara masa depan anak-anak mereka mulai hari ini ke arah menuju kejayaan dengan semangat juara,” katanya.

 

Kajian The Grit Advantage yang dijalankan MILO® di seluruh Semenanjung Malaysia meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Kajian selama lima hari bermula 17 sehingga 21 September lalu itu melibatkan kira-kira 103 guru, profesor dan pendidik selain 200 orang sumber manusia dan pengurusan kanan yang terlibat dalam pengambilan pekerja.

Menerusi kajian itu, antara ciri-ciri yang diperhatikan oleh pendidik dan majikan dalam kalangan generasi masa kini ialah faktor yang menghalang mereka daripada mencapai kejayaan. Kajian survei secara dalam talian itu turut memberi fokus kepada kepentingan Grit dalam meraih kejayaan yang diimpikan.

Akademik Bukan Segalanya

 

Hasil kajian daripada pihak pendidik mendapati 74 peratus pendidik menegaskan bahawa keseimbangan akademik dan aktiviti kokurikulum menjamin pembentukan anak yang serba boleh dan ini penting untuk menyediakan mereka ke arah kejayaan.

Kajian turut mendapati kira-kira 71 peratus pendidik menyatakan bahawa pelajar mencari jalan mudah dan singkat apabila perlu menyiapkan kerja rumah yang berat dan ketika belajar. Selain itu, 82 peratus percaya bahawa keazaman untuk mencapai cita-cita atau matlamat serta tidak mengenal erti putus asa adalah tanda-tanda kejayaan awal yang sangat penting.

Dalam kajian itu, 63 peratus pendidik berpendapat pelajar mudah berputus asa apabila mereka mengalami kegagalan dan 74 peratus lagi merasakan menerima kegagalan adalah sebahagian proses pembelajaran penting untuk pelajar terus berjaya pada masa depan.

Secara keseluruhanya, kebanyakan daripada pendidik percaya Grit dapat membantu membina minat dan karekter seseorang pelajar. Melalui kajian tersebut 93 peratus golongan pendidik ini percaya Grit ini penting dalam mempengaruhi karekter seseorang bagi mencapai minat mereka.

Pada masa sama, hasil kajian menunjukkan 54 peratus menyatakan Grit boleh membantu kanak-kanak menghadapi cabaran hidup sebenar.

Golongan Profesional Generasi Muda Kurang  Bersemangat: Majikan

 

Melalui data yang diperolehi dalam Kajian The Grit Advantage yang dijalankan ini, golongan profesional muda pada zaman sekarang mempunyai sikap ambil mudah yang mana 79 peratus melihat perjalanan kerjaya pekerja muda tidak teratur dan sering bertukar kerja.

Sebanyak 72 peratus majikan juga turut menyatakan bahawa generasi muda pada masa kini perlu diajar untuk belajar bersabar serta mempunyai matlamat.

Manakala 70 peratus daripada majikan ini bersetuju golongan profesional muda ini menerima kesilapan mereka dengan hati yang terbuka dan belajar daripada kesilapan tersebut sekiranya ingin berjaya dalam kerjaya.

Merujuk kepada data kajian pengambilan pekerja pula, tujuh daripada lapan pihak majikan ini akan mengambil individu yang serba boleh daripada mereka yang hanya bersandarkan kepada keputusan akademik yang baik semata-mata.

Rakyat Malaysia dijemput untuk menyertai perbincangan Grit dengan mengikutinya di MILO® Grit Advantage Forum yang akan menampilkan barisan panel pakar dalam bidang masing-masing.

MILO® Grit Advantage Forum berlangsung pada 3 Disember 2020 dari pukul 9 hingga 10 malam melalui laman sosial Facebook MILO® Malaysia.

Advertisement