Anda di sini

Dua remaja curi motosikal ditahan 

Advertisement
 Motosikal yang dicuri suspek remaja berjaya dikesan polis.
CURI: Motosikal yang dicuri suspek remaja berjaya dikesan polis.

KOTA BELUD: Polis menahan dua remaja masing-masing berumur 15 dan 17 tahun selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan curi motosikal di Kampung Lebak Moyoh di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd. Zaidi Abdullah berkata, pemilik motosikal yang juga petugas barisan hadapan membuat laporan berhubung kejadian curi itu pada 20 November lepas.

Menurutnya, mangsa menyedari motosikalnya yang berada di hadapan rumah hilang dipercayai dicuri orang yang tidak dikenali.

Katanya, hasil siasatan dan risikan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Belud, pihaknya berjaya mengesan motosikal terbabit dalam keadaan tidak sempurna di kawasan kampung berkenaan.

Beliau berkata, susulan penemuan motosikal berkenaan, suspek turut berjaya ditahan dan sekali gus menyelesaikan kes curi terbabit dalam tempoh kira-kira enam jam.

"Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Belud akan terus komited dan mempertingkatkan usaha dalam membuat risikan dan tangkapan ke atas suspek-suspek yang masih bebas," katanya selepas majlis pelupusan barangan kes jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud di sini.

Dalam pada itu, pihaknya turut melupuskan sebanyak 775 item yang melibatkan 79 kertas siasatan membabitkan tempoh dari 2000 hingga 2020.

 Peralatan komputer antara barangan kes jenyah yang dilupuskan IPD Kota Belud.
LUPUS: Peralatan komputer antara barangan kes jenyah yang dilupuskan IPD Kota Belud.

Menurutnya, antara barang-barang kes jenayah yang dilupuskan termasuklah peralatan komputer dan barang kes jenayah lain yang mendapat arahan mahkamah untuk dilupuskan.

Katanya, operasi pelupusan yang julung kali dilakukan memberi ruang yang lebih luas kepada stor barang kes IPD Kota Belud.

Zaidi berkata, selama ini stor berkenaan padat dengan barang-barang kes jenayah yang masih dalam siasatan.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Belud Diayana Abdullah.

  • oleh
  • Advertisement