Anda di sini

BTS menang dua lagi hadiah di Anugerah Muzik Amerika

Advertisement
 BTS muncul dalam sebuah stadium yang diterangi warna ungu untuk membuat persembahan siaran televisyen pertamanya bagi lagu ‘Life Goes On’, lagu utama dalam album terbaharunya ‘BE’, diikuti persembahkan lagu hit mereka ‘Dynamite’ dengan memakai sut sutera berwarna pastel. — Gambar AFP
PERSEMBAHAN DI ANUGERAH MUZIK AMERIKA: BTS muncul dalam sebuah stadium yang diterangi warna ungu untuk membuat persembahan siaran televisyen pertamanya bagi lagu ‘Life Goes On’, lagu utama dalam album terbaharunya ‘BE’, diikuti persembahkan lagu hit mereka ‘Dynamite’ dengan memakai sut sutera berwarna pastel. — Gambar AFP

KUMPULAN bintang mega K-pop BTS telah memenangi dua hadiah di Anugerah Muzik Amerika 2020 (AMA) dan membuat persembahan siaran televisyen pertamanya bagi lagu ‘Life Goes On’ dalam sebuah stadium yang diterangi warna ungu, Agensi Berita Yonhap melaporkan.

Kumpulan tujuh anggota itu memenangi anugerah kumpulan duo atau kumpulan pilihan dalam pop-rock untuk tahun kedua berturut-turut selain artis sosial pilihan untuk tahun ketiga berturut-tuut di pertunjukan AMA 2020 yang diadakan di Microsoft Theater di Los Angeles pada malam Isnin (waktu AS).

Calon lain yang bertanding untuk anugerah kumpulan duo atau kumpulan pilihan dalam pop/rock adalah Jonas Brothers dan Maroon 5.

Untuk artis sosial pilihan, BTS bersaing dengan Billie Eilish, Ariana Grande, serta dua kumpulan K-pop, EXO, dan NCT 127.

Walaupun BTS tidak menyertai majlis di AS, ia mengucapkan terima kasih kepada para peminatnya yang berdedikasi, lebih dikenali sebagai ARMY, dalam satu mesej video di atas sokongan mereka dalam pertunjukan yang diundi oleh peminat.

“Kami memenangi gelaran ini pada tahun lepas juga, jadi terima kasih di atas sokongan anda yang berterusan, kasih sayang, terutamanya pada tahun yang begitu penuh dengan ketidaktentuan dan keraguan,” kata RM, yang merujuk kepada kejayaan memenangi anugerah kumpulan duo atau kumpulan pilihan dalam pop/rock.

“Terima kasih sekali lagi di atas anugerah yang tidak ternilai ini. Sayang anda ARMY,” kata V pula.

BTS kemudian muncul dalam sebuah stadium yang diterangi warna ungu untuk membuat persembahan siaran televisyen pertamanya bagi lagu ‘Life Goes On’, lagu utama dalam album terbaharunya ‘BE’ yang dikeluarkan Jumaat lepas.

Tujuh anggota kumpulan itu – termasuk Suga yang tidak menyertai aktiviti promosi selepas menjalani pembedahan bahu – muncul dengan pakaian hitam putih untuk menyanyikan lagu balada baharu itu.

Kumpulan tujuh anggota itu seterusnya mempersembahkan lagu hit mereka ‘Dynamite’ dengan memakai sut sutera berwarna pastel.

Di sidang akhbar pada Jumaat lepas, BTS berkata ia mahu berkongsi mesej harapan pada waktu sukar yang sedang dilalui dunia di tengah-tengah pandemik dengan album baharu mereka.

Dalam perkembangan lain, kedai pop up baharu BTS ‘BTS POP-UP : MAP OF THE SOUL’  telah dimulakan mulai 14 November merentasi tujuh buah negara dan wilayah di Online Store Asia termasuk Malaysia.

Big Hit IP, sebuah perbadanan bebas yang menerajui perniagaan IP Big Hit Entertainment, yang sebelum ini mengen-dalikan satu bentuk baharu bagi pengalaman kompleks ruang di bawah nama ‘BTS POP-UP: HOUSE OF BTS’ pada Oktober 2019.

Pada kali ini, kedai pop up baharu itu yang mengambil konsep daripada album studio keempat BTS MAP OF THE SOUL: 7 yang dikeluarkan pada Februari telah tiba dekat sangat dengan tempat tinggal peminat.

Online Store Asia itu telah dibuka pada 14 November di laman web eksklusif yang dipanggil morningKall (2020btspopupasia.morningkall.com) dan ia berjalan dengan jayanya.

Pop-up itu menawarkan sehingga 300 produk yang berbeza termasuk tetapi tidak terhad kepada pakaian, alat tulis, dan barangan rumah. Ia juga memaparkan produk yang mempunyai trek b-side bagi MAP OF THE SOUL: 7 sebagai tema utama.

Kedai dalam talian itu merancang untuk memperkenalkan produk baharu pada setiap minggu mengikut jadual. Barangan seperti pakaian, aksesori, dan pelbagai barangan yang menggunakan logo BTS dan produk yang menampilkan tema lagu seperti ‘Black Swan’ dan ‘ON’, juga semakin popular.

Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari https://2020btspopupasia.morningkall.com/  atau ikuti @morningKall di Instagram, Facebook dan Twitter. — Bernama

Advertisement