Anda di sini

Balik dari terkandas di Romania, dua lelaki didapati positif COVID-19

Advertisement
 


KUCHING: Dua pekerja industri minyak dan gas yang terkandas di Romania baru-baru ini didapati positif COVID-19 setelah menjalani saringan sejurus mereka tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 23 November lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata dua kes yang dikategorikan sebagai import ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 1,058 kes.

Dua lelaki berkenaan balik dari Romania melalui Qatar pada 8 November dan sampai di Kuala Lumpur pada 9 November. Setibanya di Kuala Lumpur, mereka ditempatkan di pusat kuarantin bagi menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari sehingga 22 November.

Saringan rT-PCR pertama mereka pada 10 November juga didapati negatif COVID-19. Ujian saringan COVID-19 menggunakan RTK Antibodi pada 22 November juga tidak reaktif, jelas kenyataan itu hari ini.

"Mereka kemudian meneruskan perjalanan balik ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Miri kemudian ke Lapangan Terbang Sibu pada 23 November 2020. Kes-kes ini telah dimasukkan semula ke pusat kuarantin dan menjalani saringan ulangan COVID-19 menggunakan kaedah rT-PCR.

"Ujian yang dijalankan pada 23 November mendapati kedua-dua mereka dijangkiti COVID-19. Kedua-dua kes ini tidak menunjukkan tanda dan gejala jangkitan COVID-19. Kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sibu untuk rawatan lanjut," kata kenyataan itu.

Sarawak mencatatkan dua kes tersebut sahaja hari ini.

Selain itu, tiada kluster baharu dilaporkan hari ini dan jumlah kekal enam kluster iaitu kluster besi (12 kes); Jalan Abell (15 kes); Baki (33 kes); Greenhill (91 kes) dan Wisma Saberkas (44 kes).

“Manakala terdapat 16 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital hari ini, iaitu di Hospital Umum Sarawak (14) dan Hospital Miri(2). 

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj meningkat kepada 1,008 orang atau 95.27 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement