Anda di sini

TV Pendidikan disambut baik, 96.4 peratus murid mahu slot rancangan ditambah

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Rancangan TV Pendidikan menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan murid, guru dan ibu bapa dengan 96.4 peratus murid bersetuju supaya slot rancangan itu ditambah, demikian menurut tinjauan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin (gambar) berkata tinjauan itu bertujuan melihat penerimaan dan keberkesanan penggunaan TV Pendidikan dalam kalangan murid, guru serta ibu bapa atau penjaga di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Tinjauan itu meliputi 600 sekolah; 12,506 murid; 17,665 guru; dan 14,786 ibu bapa atau penjaga di lapan negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, 98.7 peratus murid,  98 peratus guru dan 96 peratus ibu bapa/penjaga bersetuju supaya tempoh rancangan TV Pendidikan dilanjutkan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berdasarkan dapatan ini, KPM telah menambah masa siaran TV Pendidikan selama empat jam lagi di Tutor TV Astro mulai 4 Mei 2020.  Terkini, pada 23 November 2020 KPM telah memulakan siaran TV Pendidikan selama tiga jam di saluran NTV7,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang ingin tahu keberkesanan TV Pendidikan, jumlah murid dan pelajar yang mengikuti program itu, serta sama ada KPM mempunyai rancangan untuk menambah masa siaran TV Pendidikan.

TV Pendidikan diperkenalkan semula secara terestrial di saluran TV Okey selama dua jam sehari mulai 6 April lepas menjadikan keseluruhan tempoh siaran TV Pendidikan, selama sembilan jam sehari termasuk menerusi Tutor TV Astro (empat jam) dan NTV7 (tiga jam).

Selain itu, Radzi berkata Laporan Capaian Tontonan TV Pendidikan menunjukkan jumlah tontonan secara kumulatif di TV Okey sejak mula disiarkan pada 6 April lepas sebanyak 1.8 juta tontonan manakala jumlah tontonan di saluran Astro mulai 4 Mei adalah sebanyak 5.4 juta tontonan.

“Laporan ini menunjukkan bahawa TV Pendidikan telah membantu untuk meningkatkan akses murid kepada bahan pembelajaran, seterusnya meningkatkan penguasaan pengetahuan dalam kalangan mereka. 

“Keberkesanan TV Pendidikan adalah dilihat dalam konteks peluasan kebolehcapaian terutamanya oleh murid-murid di kawasan yang tidak mempunyai akses talian internet atau murid yang tidak memiliki peranti,” katanya. - Bernama 

Advertisement