Anda di sini

Pemergian Koperal Baharuddin kehilangan besar kepada negara, PDRM - Muhyiddin 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Koperal Baharuddin Ramli daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terkorban ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi ini.

Perdana Menteri menyifatkan pemergian mendiang yang merupakan petugas barisan hadapan sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya berasa dukacita apabila mendapat tahu mendiang meninggal akibat terkena tembakan semasa penugasan dalam Op Benteng. Saya turut merasa sedih apabila mendapat tahu seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan a/l Tari yang bertugas bersama mendiang ketika kejadian, cedera terkena tembakan di bahagian perut.

“Mendiang dan Norihan adalah frontliners yang bertugas mengawal sempadan negara daripada dicerobohi khususnya ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata kerajaan amat menghargai jasa dan pengorbanan mendiang dan Norihan serta semua petugas barisan hadapan negara yang berkhidmat dengan penuh semangat dan dedikasi.

“Saya mendoakan agar anda semua sentiasa berada dalam keadaan selamat dan dilindungi Allah SWT,” katanya.

Muhyiddin turut berharap ahli keluarga mendiang bersabar dengan ujian yang dihadapi ketika ini serta mendoakan supaya Norihan segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa.

Dalam kejadian 3.10 pagi itu, Koperal Baharuddin, 54, maut dalam kejadian berbalas tembakan  dengan kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

Norihan, 39, mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis. - Bernama

Advertisement