Anda di sini

Pemberian vaksin pneumokokal di fasiliti KKM bermula Disember - Dr Noor Hisham

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin pneumokokal konjugat (PCV) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) akan bermula pada 1 Disember ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar).

Beliau berkata kanak-kanak yang lahir pada tahun ini, bermula 1 Januari lalu, layak menerima suntikan vaksin itu yang akan diberi sebanyak tiga dos, iaitu dua dos primer pada umur empat dan enam bulan, diikuti satu dos penggalak pada umur 15 bulan.

"Ibu bapa perlu membuat janji temu dengan klinik kesihatan KKM bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kepatuhan kepada normal baharu dalam usaha mencegah penularan penyakit COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bagi kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya yang telah berumur lima bulan atau lebih, jadual imunisasi pneumokokal akan disesuaikan mengikut umur oleh fasiliti kesihatan KKM.

Beliau berkata vaksin pneumokokal yang akan digunakan untuk tempoh dua tahun pertama pelaksanaan ialah vaksin PCV-10 (Synflorix) yang memberi perlindungan terhadap 10 serotip bakteria pneumokokus, merangkumi serotip 1, 4, 5, 6B, 7F, 9V, 14, 18C, 19F dan 23F yang turut memberi perlindungan cross-reactivity terhadap serotip 19A.

Katanya pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global menunjukkan, setakat 30 Jun lepas terdapat 156 negara yang telah menyenaraikan PCV dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.

"Seperti vaksin-vaksin lain yang digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin pneumokokal adalah vaksin yang berkesan dan selamat.

"Bagi memastikan semua vaksin berdaftar yang digunakan di Malaysia kekal selamat, Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) vaksin dipantau rapi oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM," katanya.

Beliau berkata PVC telah digunakan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia sejak 2009 dan tiada sebarang isu keselamatan serius dilaporkan melalui pemantauan yang dijalankan. 

Namun katanya, memandangkan ini merupakan vaksin yang baru digunakan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan di klinik kesihatan KKM, kementerian itu akan menjalankan pemantauan AEFI ke atas setiap kanak-kanak selepas pemberian setiap dos suntikan. 

"Bagi tujuan ini, ibu bapa perlu melaporkan sebarang kesan advers yang dialami oleh anak mereka kepada anggota kesihatan selepas setiap suntikan dengan mengembalikan borang pelaporan, walaupun kesan yang dialami adalah ringan seperti merah di tempat suntikan. 

"Selain itu, ibu bapa juga boleh melaporkan kesan advers secara terus kepada NPRA melalui laman sesawang npra.gov.my dengan mengisi Consumer Side Effect Reporting Form (CONSERF)," katanya. 

Dr Noor Hisham berkata ibu bapa yang mempunyai anak yang lahir bermula 1 Januari 2020 dan seterusnya yang telah mengambil satu atau dua dos suntikan vaksin pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta boleh memilih untuk melengkapkan jadual imunisasi pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta atau di klinik kesihatan KKM. 

"Ibu bapa yang memilih untuk melengkapkan imunisasi pneumokokal anak mereka di klinik kesihatan KKM dinasihatkan membawa bersama rekod imunisasi anak mereka, bagi memudahkan urusan penjadualan imunisasi oleh anggota kesihatan di klinik kesihatan KKM,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, vaksin itu diberikan bagi mencegah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus, antaranya radang paru-paru (pneumonia), radang sinus (sinusitis), jangkitan telinga tengah (otitis media), radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia). 

"Komplikasi penyakit pneumokokal termasuk cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian, maka pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak bertujuan mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun. 

"Ini seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit pneumokokal dan komplikasinya... walaupun penyakit pneumokokal boleh dirawat dengan pemberian antibiotik, terdapat beberapa strain bakteria pneumokokus yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik," katanya.

Katanya, pemberian vaksin pneumokokal adalah kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik.

"Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai pelaksanaan pemberian vaksin pneumokokal, sila hubungi KKM di talian 03-8883 4003 dari Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum), 9 pagi hingga 5 petang, atau ajukan persoalan di [email protected], atau ibu bapa juga boleh mengunjungi mana-mana klinik kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan penjelasan lanjut," katanya. - Bernama 

Advertisement