Anda di sini

Pembantu tadbir, bekas penolong pengarah didakwa kemuka tuntutan palsu

Advertisement
 (Dari kanan) Tertuduh wanita dan Yunus memasuki mahkamah semalam.
DIDAKWA: (Dari kanan) Tertuduh wanita dan Yunus memasuki mahkamah semalam.

LIMBANG: Seorang pembantu tadbir wanita didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini, semalam atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM13,245 lima tahun lalu.

Di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong, tertuduh yang berusia 47 tahun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai pembantu tadbir gred N22 ketika itu di Limbang dituduh melakukan kesalahan itu pada 5 Disember 2016.

Dia dituduh mengemukakan tuntutan palsu melibatkan kerja penyelenggaraan kuarters, surau bilik jana kuasa dan tandas sebuah pejabat kerajaan berjumlah RM13,245 pada 5 Disember 2016 kira-kira jam 8.30 pagi dan 5.30 petang.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah 24(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu tertuduh dijamin sebanyak RM15,000 berserta dua penjamin dan pengurusan kes akan dilakukan pada 7 Januari 2021 dan perbicaraan akan disambung pada 27 Januari 2021.

Dalam kes berasingan, seorang bekas penolong pengarah di Biro Tatanegara Sarawak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM3,750.

Yunus@Gani Taib, 57, dari Petra Jaya, Kuching didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, dia dituduh mengemukakan dua tuntutan yang mengandungi butiran palsu berkaitan program dan seminar Cinta Negara anjuran Biro Tatanegara di dua kawasan di Limbang berjumlah RM3,750.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 11 Mac 2016 di pejabat Biro Tatanegara Sarawak, Kuching.

Tarikh 7 Januari 2021 ditetapkan untuk pengurusan kes dan perbicaraan lanjut ditetapkan pada 24 Mac 2021.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes tersebut dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sarawak Nur Nisla Abdul Latif.

Advertisement