Anda di sini

MSN Sabah juga dalam dilema dengan had umur SUKMA

Advertisement
ASNEH
ASNEH

KOTA KINABALU: Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah juga dalam dilema berhubung had umur atlet untuk edisi ke-20 Sukan Malaysia (SUKMA XX) yang sepatutnya berlangsung tahun ini tetapi telah ditangguhkan ke 2022.

Pengarah MSN Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor berkata, Majlis Sukan Negara juga belum ada ketetapan berhubung had umur atlet SUKMA di mana sukan dwi tahun terbesar negara itu adalah kejohanan untuk atlet berusia 21 tahun ke bawah.

SUKMA XX sepatutnya berlangsung di Johor pada Julai 2020 tetapi ditangguhkan beberapa kali ekoran krisis pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

Cadangan terakhir sukan itu akan diadakan adalah pada April 2021 di mana atlet yang memang sudah tersenarai tetapi akan melebihi had umur pada 2021 masih dibenarkan bertanding.

Bagaimanapun, cadangan terakhir sukan itu diadakan diumumkan dibatalkan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia Datuk Reezal Merican Naina Merican, awal bulan ini ekoran krisis COVID-19 terus mengancam  di negara ini.

Reezal berkata, edisi ke-20 SUKMA hanya akan diadakan pada 2022 iaitu tahun sepatutnya SUKMA diadakan untuk edisi ke-21.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA akan mengkaji dan mencadangkan perubahan peraturan, dijangka termasuk had umur  atlet dalam mesyuarat akan datang.

“Semua akan dibincangkan dan diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma di peringkat kebangsaan sebelum dibentangkan semula dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma nanti, sebelum ia dimaklumkan secara rasmi.

"Sementera itu, kita terpaksa hanya tunggu dan lihat sahaja. Persiapan atlet sedia ada pula akan diteruskan,” kata Asneh ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, senarai atlet juga kini sudah bertambah tetapi semuanya kini dalam keadaan tergantung sehingga ada peraturan baru dikeluarkan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

"Saya harap peraturan baharu dan had umur SUKMA XX akan diketahui dalam masa terdekat untuk membolehkan kita membuat perancangan seterusnya dalam persiapan termasuk dalam membuat tawaran kontrak kepada atlet," kata Asneh.

  • oleh
  • Advertisement