Anda di sini

MEDAC bantu usahawan PKS menerusi platform e-dagang

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memperkasakan perniagaan mereka melalui platform e-dagang.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata platform tersebut dapat memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi usahawan PKS dan mikro.

“Antaranya ialah memperluas akses usahawan kepada RM150 juta dalam dana sumber pembiayaan alternatif dan membantu usahawan PKS serta mikro tempatan yang terkesan ekoran daripada wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk bangkit semula memulihkan perniagaan mereka.

“Membantu usahawan PKS dan mikro tempatan yang ditawarkan Geran SME Corp seperti  Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) untuk memulakan projek sebagai ‘bridging fund’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut statistik Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Perangkaan Malaysia sektor e-dagang negara telah menyumbang sebanyak RM127 billion daripada keseluruhan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

Sektor itu juga telah menunjukkan trend peningkatan dari segi prestasinya, berbanding 2015 yang mencatat RM89 billion, katanya.

Sehubungan itu, Wan Junaidi berkata MEDAC telah mengadakan perjumpaan bersama syarikat dan operator pasaran dalam talian untuk mewujudkan kerjasama membantu usahawan meningkatkan keupayaan perniagaan dalam kalangan peniaga, penjaja kecil, mikro dan pekerja bukan formal tempatan secara dalam talian.

“Seramai 13 orang wakil syarikat-syarikat utama e-dagang yang beroperasi di Malaysia telah hadir di dalam sesi perbincangan itu,” katanya. - BERNAMA

Advertisement