Anda di sini

Liverpool menyerlah meskipun berdepan krisis kecederaan

Advertisement
 Firmino menjaringkan gol pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Leicester City di Anfield di Liverpool, England, kelmarin. — Gambar AFP
LEDAK: Firmino menjaringkan gol pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Leicester City di Anfield di Liverpool, England, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Liverpool menangani krisis kecederaan untuk berkongsi mata dengan Tottenham Hotspur di singgahsana Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 3-0 ke atas Leicester City sementara Arsenal berjaya bertahan dengan kurang seorang pemain untuk seri tanpa jaringan di Leeds United pada Ahad.

Liverpool beraksi tanpa Virgil van Dijk, Joe Gomez, Trent Alexander-Arnold, Jordan Henderson, Thiago Alcantara, Xherdan Shaqiri dan Alex Oxlade-Chamberlain kerana kecederaan sementara penyerang utama, Mohamed Salah tidak dapat beraksi selepas diuji positif untuk koronavirus (COVID-19).

Namun, skuad kendalian Jurgen Klopp itu masih kuat untuk menewaskan lawan yang menduduki tangga teratas liga sebelum jadual perlawanan hujung minggu.

Leicester menyukarkan diri mereka sendiri apabila Jonny Evans tertolak tendangan sudut  James Milner ke pintu golnya sendiri untuk meletakkan Liverpool di hadapan.

Diogo Jota kemudian menjadi pemain pertama Liverpool yang menjaringkan gol pada semua empat perlawanan di tempat sendiri apabila menanduk hantaran lintang Andy Robertson.

Hanya ketangkasan penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel dan palang gol menghalang Liverpool mengulangi kemenangan 4-0 seperti pada pertemuan terakhir bulan Disember tahun lepas.

Tetapi Robert Firmino melengkapkan jaringan dengan menanduk satu lagi tendangan sudut Milner enam minit sebelum tamat permainan.

“Bermain menentang Leicester malam ini, saya tidak mengambil sikap mudah,” kata Klopp. “Pemain benar-benar bersemangat.”

Liverpool kini mencipta rekod baharu kelab apabila mengharungi 64 perlawanan liga tanpa kalah di Anfield.

Kekalahan Leicester bermakna Arsenal hanya kurang lima mata dari empat tangga teratas liga namun pengurusnya, Mikel Arteta, berang dengan masalah disiplin Nicolas Pepe ketika Arsenal bernasib baik pulang dengan satu mata.

“Ia tidak boleh diterima,” kata Arteta selepas pasukannya hanya menang sekali dari lima perlawanan liga terakhir.

“Dengan 10 pemain, ia kelebihan besar kepada lawan. Saya benar-benar menyukai personaliti pasukan apabila Pepe mengecewakan mereka, bagaimana kami mengekalkan tugas kami. Sememangnya ia (penyingkiran Pepe) menjadikan keadaan sangat sukar.”

Leeds berada di tangga  ke-14 selepas perlawanan ketiga berturut-turut tanpa  menang tetapi skuad kendalian Marcelo Bielsa pastinya terkilan dengan nasib malang mereka kerana gagal meraih kemenangan selepas cubaan Rodrigo, Patrick Bamford dan Raphinha terkena palang pada minit akhir permainan.

Kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, diberi tugas sebagai penyerang tengah tetapi beliau gagal memberikan sebarang impak walaupun sebelum Pepe dibuang  padang.

Gol penalti Aubameyang ketika menewaskan  Manchester United 1-0 bulan lepas adalah satu-satu gol yang dijaringkan Arsenal untuk hampir 500 minit dalam  liga setakat ini.

Pada perlawanan lain, Everton bangkit dari tiga  kekalahan berturut-turut untuk menewaskan Everton 3-2, dibantu dengan dua gol Dominic Calvert-Lewin.

Carlvert-Lewin kini mendahului carta penjaring gol liga terbanyak sementara satu lagi gol Everton dijaringkan Abdoulaye Doucoure.

Bobby Decordova-Reid mengikat kedudukan 1-1 buat Fulham tetapi nasib malang sepakan  penalti berterusan apabila pemain ketiga musim ini gagal menyempurnakan penalti selepas  tendangan Ivan Cavaleiro melambung tinggi.

Ruben Loftus-Cheek menjaringkan gol kedua Fulham ketika berbaki 20 minit permainan tetapi Everton berjaya bertahan untuk kemenangan pertama dari lima perlawanan liga dan naik ke tangga keenam liga.

“Apa yang paling penting pada perlawanan ini  ialah kembali meraih kemenangan,” kata pengurus Everton, Carlo Ancelotti.

“Kami hilang tenaga dalam separuh masa kedua, pemain  keletihan. Saya menukar pemain  untuk meningkatkan tahap kecergasan pasukan tetapi kami terpaksa bertahan sehingga ke akhirnya.”

Fulham kekal satu tangga di atas zon penyingkiran selepas kekalahan ketiga dari empat perlawanan.

Di tangga tercorot, Sheffield United masih memburu kemenangan pertama mereka musim ini selepas tewas 0-1 kepada West  Ham United di tempat sendiri. — AFP

Advertisement