Anda di sini

Lelaki rogol anak kandung diberkas polis

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Polis memberkas seorang lelaki selepas dipercayai merogol anak perempuan kandungnya yang berumur lapan tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek yang berumur 45 tahun itu ditahan, di sini.

Menurutnya, mangsa  dirogol ayah kandungnya sekitar Mac hingga Jun lepas di rumah sewa keluarga berkenaan di tingkat dua rumah kedai di Inanam dekat sini.

Beliau berkata, mangsa mengadu berhubung kejadian itu kepada penjaga asrama selepas ibu bapanya menghantar mangsa ke sebuah asrama pelajar sejak Julai lepas.

"Asrama berkenaan menawarkan tempat tinggal percuma untuk pelajar memandangkan keadaan ibu bapa mangsa yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan serta tempat tinggal yang tetap.

"Siasatan awal mendapati, mangsa mengadu diganggu secara seksual oleh suspek semasa tinggal bersama keluarganya di rumah sewa berkenaan.

"Malah ketika kejadian berlaku, walaupun mangsa cuba menjerit meminta tolong, namun ibunya tidak dapat membantu kerana lumpuh dan menggunakan kerusi roda," katanya ketika dihubungi di sini.

Habibi berkata, ibu mangsa turut sama sering menjadi mangsa pukul suspek hingga menyebabkan mereka sekeluarga takut dan trauma kepada suspek.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah dan kini ditahan reman.

Beliau berkata, mangsa dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) untuk membantu siasatan lanjut bagi proses pendakwaan.

Pihaknya menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum jika sabit kesalahan.

  • oleh
  • Advertisement