Anda di sini

KDN, KSM perlu wujud sistem bersepadu pengambilan pekerja asing - PAC 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) harus mewujudkan sistem bersepadu dalam pengurusan dan kawalan pengambilan pekerja asing supaya ada kelangsungan data dari satu medan ke medan operasi lain merentasi kementerian dan jabatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Wong Kah Woh (gambar) berkata perkara itu adalah antara syor yang dikemukakan kepada kerajaan, selain kedua-dua kementerian tersebut perlu menentukan permohonan bagi kuota pekerja asing dibuat melalui sistem ePPAx dan MyIMMs yang mana keputusan permohonan diberikan dalam tempoh masa tertentu yang munasabah.

“Kelulusan khas hanya harus terpakai dalam kes-kes rayuan bermerit atau projek khas negara sebagaimana yang diputuskan oleh jemaah menteri.

“Secara khususnya KDN tidak boleh mentafsir permohonan yang dihantar kepada MDN (Menteri Dalam Negeri) tanpa melalui sistem sebagai satu rayuan,” katanya dalam kenyataan.

Wong berkata syor berkenaan dibuat selepas PAC membentangkan laporannya berhubung Aktiviti Kawalan Terhadap Pekerja Asing di bawah KDN dan KSM di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan berpendapat tidak seharusnya wujud  ‘pengantara’ dalam permohonan kuota pekerja asing kepada Menteri Dalam Negeri, selain mengesyorkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap peranan ‘pengantara’ terlibat.

Syor lain ialah tiada sebarang pengecualian boleh diberikan untuk pengambilan pekerja asing dalam subsektor beku serta Polis Diraja Malaysia perlu mempercepatkan siasatan terhadap dakwaan kecurian dan penyalahgunaan pengenalan diri (ID) pengguna dalam sistem MyIMMs.

PAC turut mengesyorkan agar Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) terhadap bakal pekerja perlu disegerakan oleh majikan iaitu dalam tempoh 30 hari dari hari ketibaan, dan penguatkuasaan tegas oleh Jabatan Imigresen perlu dikenakan kepada majikan yang gagal mematuhi peraturan itu.

Wong berkata KDN melalui Jabatan Imigresen juga perlu meneruskan Projek Rintis Alternative To Detention Bagi Kanak-kanak Tanpa Penjaga Dan Kanak-kanak Terpisah Dalam Tahanan Imigresen yang telah dirancang dilaksanakan pada April 2020.

Katanya KDN juga harus bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi meneruskan penempatan wanita dan kanak-kanak dari depot ke pusat seliaan Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO).

“KDN harus membuat perundingan semula dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk penyelesaian pendaftaran tahanan berstatus pelarian di depot imigresen di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, KDN dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mewujudkan satu unit khusus bagi memproses sebarang prosedur operasi standard untuk menangani kemasukan dan kebajikan pelarian di negara ini. - Bernama

Advertisement