Anda di sini

Jelius sedia menggalas tugas baharu selaku pengurus

Advertisement
 Jelius (kanan) berbincang dengan Verdon perancangan untuk Sabah FC.
BINCANG: Jelius (kanan) berbincang dengan Verdon perancangan untuk Sabah FC.

KOTA KINABALU: Bekas ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating sedia menggalas tugas barunya selaku pengurus Sabah FC dalam kempen Liga Malaysia musim depan.

Ia bukan sahaja tugas baharu tetapi akan dipikul dengan norma baru ekoran krisis COVID-19 buat bekas ketua jurulatih yang berjaya membawa semula Sabah ke Liga Super musim ini selepas menjulang gelaran juara Liga Premier 2019.

Jelius yang juga bekas pemain Sabah bagaimanapun tidak dapat meneruskan khidmatnya selaku ketua jurulatih musim ini (2020) kerana belum memiliki lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Jelius hanya bertugas selaku penolong jurulatih kepada ketua jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto musim ini iaitu musim yang menyaksikan bola sepak turut dimuramkan oleh krisis COVID-19.

Apapun, pengalaman sebagai pemain, ketua jurulatih dan penolong ketua jurulatih serta mengharungi musim yang dilanda COVID-19 adalah pengalaman berguna buat Jelius menggalas tugas barunya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah, Dato Verdon Bahanda minggu lalu mengumumkan pelantikan Jelius selaku pengurus pasukan dan juga salah seorang jurulatih Sabah FC.

Turut diumumkan ialah pelantikan Justin Ganai selaku Pengarah Teknikal dan David Johnny @ Mohd Aiyman sebagai Pegawai Pembangunan Belia.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan Sabah yang berikan kepercayaan kepada saya dan sememangnya jawatan ini akan berikan saya lebih banyak peranan di dalam pasukan.
 
“Bukan sahaja terhadap aspek teknikal pasukan tetapi mengenai penjagaan imej pasukan serta perkara-perkara berkaitan pengurusan memandangkan Sabah akan dikenali Sabah FC pada musim depan, sejajar dengan penswastaan pasukan.
 
“Sudah tentu banyak perkara yang perlu saya lihat selaku pengurus dan dalam masa sama, saya rasa lebih berpeluang untuk sama-sama membantu ketua jurulatih serta berkongsi pandangan dalam meningkatkan kualiti pasukan.
 
“Apa yang lebih mustahak, saya dan pihak pengurusan akan cuba melakukan satu perubahan baharu terutama dalam merangka pelbagai strategi sebagai usaha bagi menjana pendapatan pasukan,” katanya.

Mengenai perjalanan Sabah FC, Jelius sudah merangka apa yang perlu dilakukan berdasarkan pengalamannya selaku pemain dan jurulatih sebelum ini.

"Kami masih sedang menyusun perancangan-perancangan terbaik untuk Sabah FC.

“Harapan saya pada musim depan adalah mahu melihat Sabah FC mampu berikan saingan serta cuba berada dalam kalangan lima teratas Liga Super,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement