Anda di sini

COVID-19: Malaysia rekod jumlah kes baharu harian tertinggi dengan 2,188 kes, empat kematian

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini merekodkan jumlah kes harian tertinggi jangkitan COVID-19 baharu dengan 2,188 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata Selangor masih merekodkan angka tertinggi dengan 1,623 kes, yang sebahagian besarnya melibatkan Kluster Teratai iaitu 1,511 kes.

"Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 58,847 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 14,353 kes," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh pula sebanyak 1,673 kes, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh sepenuhnya ialah 44,153 kes atau 75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau turut melaporkan empat kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan yang maut akibat COVID-19 kini 341 kes. 

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 112 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 49 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut Dr Noor Hisham tiada kes import dilaporkan hari ini, manakala penularan tempatan menyaksikan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 1,623 kes, Sabah (232), Perak (112), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (90), Negeri Sembilan (73), Johor (19).

"Pulau Pinang (15), Kedah (14), Kelantan (enam), Melaka (dua), Wilayah Persekutuan Labuan (satu) dan Sarawak (satu)," katanya.

Beliau berkata Kluster Bah Layangan ditamatkan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau sebanyak 167 kluster.

Mengulas status terkini kluster tempat kerja, Dr Noor Hisham berkata peningkatan kes mendadak di kawasan Lembah Klang dan Selangor kebelakangan ini adalah berkait rapat dengan kluster-kluster di tempat kerja.

"Sehingga kini, terdapat 119 kluster yang dilaporkan adalah berkaitan tempat kerja. Daripada jumlah itu, sebanyak 36 kluster telah diisytiharkan tamat manakala 83 kluster lagi masih aktif sehingga ke hari ini.

"Sejumlah 77,201 individu telah disaring, 12,079 kes didapati positif COVID-19. Ini melibatkan 4,398 kes warganegara dan 7,681 kes adalah bukan warganegara," katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Teratai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi sejak bermula pandemik COVID-19 di negara ini iaitu 4,036 kes, diikuti Kluster Tapak Bina Damanlela di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor (1,539), Kluster Cergas di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan (1,337).

Selain itu, Kluster Hentian di Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (1,101), Kluster Kaya di Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Melaka, Selangor, Johor, Kelantan, Perak (900).

Dr Noor Hisham berkata pada gelombang ketiga pandemik ini, negara telah menyedari kepentingan untuk mengimbangi di antara 'live and livelihood', justeru pendekatan yang diambil seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tertentu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan aspek kesihatan dan ekonomi.

"Bagaimanapun, kejayaan strategi ini memerlukan kerjasama daripada majikan bagi memastikan semua pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

"Bagi industri yang menggunakan banyak tenaga kerja bukan warganegara, majikan bertanggungjawab menyediakan tempat kediaman pekerja yang kondusif serta memastikan pekerja mereka sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di kediaman dan tempat kerja," katanya. - Bernama 

Advertisement