Anda di sini

COVID-19: Buat saringan tiga hari sebelum keluar dari Sabah - Dr Adham Baba 

Advertisement
Gambar fail Bernama 

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa esok, semua pengembara yang tiba dari Sabah perlu menjalani saringan COVID-19 tiga hari sebelum berlepas ke negeri lain melalui pintu masuk utama, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba. 

Beliau berkata sekiranya pengembara positif ujian pengesanan COVID-19 atau bergejala, mereka tidak akan dibenar meneruskan perjalanan keluar dari Sabah dan akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan serta pemantauan.

“Bagi pengembara yang dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka diwajibkan penggunaan MySejahtera setibanya di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sekiranya mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal COVID-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari, ” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata keputusan terbaharu itu dibuat berdasarkan keadaan semasa dan diputuskan ketika mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang berlangsung semalam.

Berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan, kes COVID-19 di Sabah kini menunjukkan trend penurunan berbanding trend yang dilaporkan di negeri di Semenanjung Malaysia terutama sekitar Lembah Klang.

Pada minggu epid ke-47, jumlah kes baharu di Sabah ialah 3,073 iaitu menunjukkan penurunan sebanyak 32.4 peratus berbanding Lembah Klang sebanyak 3,041 kes iaitu peningkatan sebanyak 270 peratus.

“Mengambil kira situasi semasa ini dan setelah satu bulan setengah pelaksanaannya, semakan semula ke atas prosedur saringan COVID-19 dan prosedur kuarantin wajib bagi mereka yang tiba dari Sabah di Pintu Masuk Negara telah dijalankan oleh KKM,” katanya 

Sebelum ini, berkuat kuasa pada 27 Sept lepas, semua pengembara yang tiba dari Sabah dikehendaki menjalani saringan gejala, ujian pengesanan COVID-19 serta menggunakan aplikasi MySejahtera semasa tiba di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 Tindakan tersebut adalah susulan peningkatan kes COVID-19 di kebanyakan daerah di Sabah selain peningkatan kes positif COVID-19 di negeri lain di Malaysia yang berkait dengan sejarah melawat Negeri di Bawah Bayu itu. - Bernama

Advertisement