Anda di sini

Bekalan elektrik lima premis judi atas talian dipotong

Advertisement
 Habibi (kiri) bersama anggota SESB semasa serbuan untuk pemotongan bekalan elektrik di premis yang terlibat perjudian atas talian.
POTONG: Habibi (kiri) bersama anggota SESB semasa serbuan untuk pemotongan bekalan elektrik di premis yang terlibat perjudian atas talian.

KOTA KINABALU: Sebanyak lima premis perniagaan sekitar Inanam dekat sini dipotong bekalan elektrik selepas didapati menjalankan kegiatan perjudian atas talian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kebanyakan pemilik premis yang terlibat berselindung di sebalik perniagaan barangan serbaneka.

Katanya, suspek masih degil dan tetap menjalankan kegiatan haram terbabit walaupun operasi mereka pernah diserbu pihak berkuasa.

"Sejak Januari hingga November tahun ini, sebanyak 162 serbuan dijalankan dengan jumlah sama kertas siasatan dibuka. Daripada jumlah itu, sebanyak 77 kes berjaya dituduh di mahkamah, manakala selebihnya masih menunggu laporan daripada pakar judi.

"Bagi tempoh yang sama, seramai 171 orang ditangkap membabitkan sebanyak RM45,052 rampasan wang tunai," katanya kepada media selepas Operasi Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di sini.

Beliau berkata, tindakan pemotongan bekalan elektrik di premis terbabit selaras dengan Peruntukan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Selain itu jelasnya, serbuan dalam operasi berkenaan dilaksanakan berdasarkan rekod serbuan berulang terhadap premis-premis terbabit.

Menurutnya, bagi permohonan semula untuk mendapatkan bekalan elektrik, ia bergantung kepada pihak SESB dan pihaknya juga akan menghubungi agensi berkaitan bagi penamatan lesen perniagaan pemilik premis berkenaan.

Pada masa sama katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan dimaklumkan supaya laman sesawang yang digunakan untuk kegiatan perjudian atas talian itu disekat.

"Kita menyeru kepada masyarakat untuk bekerjasama dengan pihak polis agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan kegiatan jenayah judi atas talian," katanya.

Dalam perkembangan lain, hasil siasatan pihaknya mendapati mayat lelaki yang ditemukan tergantung berhampiran IPD Kota Kinabalu baru-baru ini bukan warganegara dan berumur sekitar 20-an.

Habibi berkata, siasatan mendapati tiada dokumen berkaitan mangsa diperoleh dan tiada waris yang menuntut mayat mangsa serta berjumpa dengan pihak polis untuk mengetahui latar belakang mangsa.

  • oleh
  • Advertisement