Anda di sini

Tottenham duduki carta teratas EPL

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Tottenham Hotspur dan Manhcester City di Stadium Tottenham Hotspur di London. — Gambar AFP
AKSI SEBENAR: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Tottenham Hotspur dan Manhcester City di Stadium Tottenham Hotspur di London. — Gambar AFP

LONDON: Tottenham Hotspur melonjak ke  tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Manchester City 2-0 sementara Chelsea naik ke tangga kedua selepas kemenangan di Newcastle pada Sabtu.

Manchester United di tangga kesembilan tetapi berjaya menamatkan badi malang gagal menang di Old Trafford dari tujuh perlawanan apabila menewaskan West Brom 1-0 menerusi penalti Bruno Fernandes.

Spurs menduduki tangga teratas liga buat kali pertama dalam tempoh enam tahun selepas gol dari Son Heung-min dan Giovani Lo Celso menamatkan cabaran City yang hambar di jentera serangan pada perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur.

Pada ulang tahun satu tahun pelantikan Jose Mourinho sebagai pengurus, Spurs belum tewas dari lapan perlawanan liga terakhir sejak tewas kepada Everton pada hari pertama musim baharu, membangkitkan  harapan mampu memberikan cabaran sebenar kejuaraan  liga pada musim ini.

“Pemain memberikan segala-galanya dan mengikuti strategi yang diberikan. Mereka cukup hebat,” kata Mourinho.

“Kami menemui cara untuk bermain dan ia adalah hebat untuk melihat mereka bermain seperti hari ini.”

Tottenham, yang memenangi kejuaraan liga terakhir mereka pada 1961, mendahului Chelsea dengan  kelebihan dua mata dengan kedua-dua pasukan akan bertemu selepas ini.

City kini tercicir di tangga  ke-11, lapan mata di belakang Spurs walaupun kurang satu perlawanan.

Chelsea mengekalkan prestasi memberangsangkan apabila gol sendiri Federico Fernandez dan gol Tammy Abraham memastikan kemenangan 2-0 di St James’ Park.

Skuad kendalian Frank Lampard itu belum tewas dalam sembilan perlawanan dari semua pertandingan da belum tewas dalam enam perlawanan liga terakhir.

“Saya tidak teruja apabila  berada di tangga teratas selama  beberapa minit (sebelum Spurs menang),” kata Lampard. “Ia penting untuk merendah diri dan tahu saingan masih panjang.”

United masih jauh untuk kembali meletakkan kedudukan mereka sebagai pencabar kejuaraan apabila mereka sekali lagi mempamerkan aksi hambar di Old Trafford walaupun akhirnya meraih kemenangan yang ditunggu-tunggu.

Pada perlawanan lain, Aston Villa terlepas peluang naik ke tangga teratas liga untuk beberapa minit selepas Brighton menang 2-1 dan menamatkan satu rekod tujuh perlawanan tanpa menang mereka di Villa Park.

Solly March menjaringkan gol kemenangan Brighton selepas Ezri Konsa mengikat gol pembukaan Danny Welbeck. — AFP

Advertisement