Anda di sini

Kementerian, agensi digesa terus laksanakan GRP sebagai agenda penting 

Advertisement
 


KUCHING: Kementerian dan agensi di Sarawak digesa untuk terus berusaha dalam melaksanakan Amalan Kawal Selia Baik (GRP) sebagai agenda penting untuk memudahkan persekitaran seliaan yang kondusif bagi menggalakkan produktiviti dan pertumbuhan ekonimi lebih meluas.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion berkata, beliau yakin pembangunan dan pelaksanaan GRP dapat dipertingkatkan dengan mengukuhkan usaha dan kerjasama dalam kalangan kementerian, jabatan dan agensi negeri untuk memastikan kepaduan polisi pada semua peringkat.

"Saya gembira memaklumkan Sarawak merupakan negeri terkemuka di Malaysia yang mengambil cabaran untuk melaksanakan GRP dan Analisis Impak Kawal Selia (RIA), dan berjaya mengeluarkan pekeliling mengenai Pembangunan dan Pelaksanaan Peraturan Polisi Negeri (SPDIR) pada 16 Mei 2019.

"SPDIR bertujuan untuk mempromosikan proses pengawalseliaan efektif, efisen dan bertanggungwab serta mencapai kepaduan peraturan dan dasar lebih besar di seluruh kementerian dan agensi kerajaan," katanya pada majlis perasmian GRP Sarawak 2020 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menerusi sidang video di sini, hari ini.

Jaul memberitahu, daripada data yang dikumpulkan oleh MPC, 13 negeri yang melaksanakan GRP, sebanyak 1,386 lesen perniagaan dikaji dengan 14 lesen dicadang untuk dimansuhkan manakala 1,372 lesen sedang diselaraskan.

"Sehingga hari ini, Sarawak telah menjalankan 11 projek perintis di bawah inisiatif GRP dan enam projek melaksanakan proses RIA," katanya.

Beliau berkata, peningkatan produktiviti masih merupakan cabaran asas untuk negara ini dan oleh itu, ia harus menjadi pendorong kepada usaha berterusan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Ini ujarnya, termasuk melabur dalam infrastruktur ekosistem yang kondusif, meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan, mempertingkatkan inovasi dan mengguna pakai teknologi serta membuka potensi ekonomi digital sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi masa depan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman dalam ucapan aluannya berkata, MPC bersama beberapa kementerian dan agensi lain sentiasa mengkaji peraturan-peraturan baru dan sedia ada dalam meningkatkan kualiti peraturan menerusi pelbagai inisiatif GRP.

Beliau berkata, ini termasuk RIA, pembatalan kawal selia, Urusan Mendapatkan Permit Pembinaan (DCP) dan Pemodenan Lesen Perniagaan (MBL). 

"Selain itu, terdapat pendekatan 'Guillotine' dan program Langkah Bukan Takrif (NTM) yang menganalisis halangan perdagangan dalam negeri dan lesen serta permit untuk meningkatkan kecekapan.

"Bagi Sarawak, program NTM pertama akan bermula pada 30 November melibatkan sembilan kementerian dan 14 jabatan," katanya.

Mengenai seminar itu, Abdul Latif yakin perkongsian daripada penceramah jemputan dari Jabatan Hutan Sarawak dan Lembaga Pembangunan Bintulu akan membantu peserta memperkukuhkan pengetahuan mengenai integriti, inklusif, kepercayaan dan ketelusan seperti yang ditekankan oleh kerajaan.

"Saya harap acara ini akan memberi manfaat dalam mengukuhkan lagi usaha kita untuk meningkatkan kuliti rangka kerja kawal selia," ujarnya.

Objektif penganjuran seminar itu adalah untuk mengukuhkan tadbir urus institusi dalam meningkatkan produktiviti melalui GRP.

Peserta terdiri daripada pegawai kerajaan, ahli persatuan dan Dewan Perniagaan serta wakil dari universiti tempatan.

Turut menyertai seminar tersebut ialah Ahli Lembaga MPC, Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg; Pengarah MPC Sarawak, Sarimah Misman dan Pengarah Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri, Michael Ronnie Langgong.

  • oleh
  • Advertisement