Anda di sini

Impian Nadal menjuarai kejohanan akhir musim lebur

Advertisement
 Aksi di antara Nadal menentang Medvedev dalam separuh akhir kejohanan akhir musim di London. — Gambar AFP
TERSUNGKUR LAGI: Aksi di antara Nadal menentang Medvedev dalam separuh akhir kejohanan akhir musim di London. — Gambar AFP

LONDON: Daniil Medvedev menamatkan impian Rafael Nadal untuk memenangi kejohanan akhir musim ini apabila melangkah ke perlawanan akhir Final Jelajah ATP dan akan menentang Dominic Thiem, yang menumbangkan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic pada perlawanan separuh akhir pada Sabtu.

Nadal, pemain ranking kedua dunia dan belum pernah memenangi kejohanan akhir musim walaupun dengan kerjaya yang gah, mempunyai mata akhir pada set kedua tetapi akhirnya tewas 3-6, 7-6(7/4) dan 6-3.

Sebelum itu, Thiem, juara Terbuka Amerika (AS),  bangkit dari ketinggalan 0-4 pada permainan tiebreak set penentuan sebelum menewaskan Djokovic 7-5, 6-7(10/12) dan 7-6(7/5 ).

Medvedev – dianggap pemain paling menyerlah dalam Jelajah ATP selepas memenangi kejuaraan Siri Master Paris – memberikan tekanan kepada pukulan servis Nadal pada awal permainan di O2 Arena.

Tetapi beliau gagal menyempurnakan beberapa peluang dan juga rentak permainannya  menurun, membolehkan Nadal memenangi set pertama.

Medvedev, 23, menemui rentak pada awal set kedua dan mendahului 2-0 pada satu ketika tetapi ketika Medvedev kelihatan mengawal permainan, Nadal berjaya bangkit bergaya dan juga memperolehi mata akhir untuk mengesahkan kemaraan ke final.

Namun, impian Nadal untuk memenangi satu-satu kejuaraan yang belum pernah dimenanginya berkecai sekelip mata apabila gagal menyempurnakan mata akhir, membolehkan Medvedev mengikat kedudukan dan membawa ke permainan set penentuan.

Kedua-dua pemain saling bertukar mata dan Nadal juga mempunyai peluang apabila mendahului 4-0 pada permainan tiebreak namun beliau gagal mengekalkan rentak sebelum akur dengan kehebatan Medvedev.

Kemenangan Thiem juga memusnahkan impian Djokovic untuk menyamai rekod Roger Federer yang memenangi kejohanan akhir musim ini sebanyak enam kali.

Naib juara tahun lepas itu berdepan tekanan psikologi apabila mensia-siakan empat mata perlawanan pada permainan tiebreak set kedua, walaupun beliau berjaya memenangi set kedua untuk membawa permainan ke set ketiga.

“Ia jelas sekali saingan mental,” kata Thiem.

“Saya mempunyai peluang pada permainan tiebreak set kedua, pertama sekali kerana untuk menentang pemain seperti beliau, akan ada sesuatu yang istimewa akan berlaku.

“Dan kemudian bermain untuk final pada kejohanan ini adalah juga sesuatu yang sangat istimewa. Saya fikir selepas kejuaraan besar pertama di New York (Terbuka AS), mungkin saya akan berasa lebih tenang tetapi ia tidak seperti yang saya fikirkan.”

Pada set ketiga, kedua-dua pemain mempamerkan aksi meyakinkan dan sekali lagi, permainan tiebreak menjadi penentu.

Namun Djokovic, yang mempunyai rekod 15-1 pada permainan tiebreak musim ini, harus menyalahkan dirinya sendiri apabila gagal mengekalkan rentak apabila mendahului 4-0.

“Apa yang beliau lakukan apabila ketinggalan 0-4 pada permainan tiebreak set ketiga adalah sangat luar biasa sekali,” kata Djokovic, pemain nombor satu dunia. “Maksud saya ialah saya tidak fikir saya bermain dengan buruk tetapi beliau bermain dengan sangat bagus sekali.” — AFP

Advertisement