Anda di sini

El Yiyo gilap bakat menari dengan menonton video di YouTube

Advertisement
 

‘EL YIYO’, seorang penari flamenco dengan nama sebenarnya Miguel Fernandez, menggilap kemahirannya dengan menonton video YouTube.

Sekarang, pada usia hanya 24 tahun, dia membuat penampilan sulungnya di dewan opera utama Sepanyol dengan satu pertunjukan yang dia buat sewaktu sekatan pergerakan virus di negara tersebut.

Prodigi flamenco baharu Sepanyol dilahirkan ke dalam sebuah keluarga Roma di Badalona, berhampiran Barcelona, yang berasal dari wilayah barat daya Andalusia, tempat kelahiran bentuk kesenian itu yang menggabungkan sajak, nyanyian, permainan gitar, tarian serta tepukan tangan dan hentakan kaki mengikut rentak.

‘El Yiyo’ menceritakan bagaimana dia menarik perhatian penari flamenco Manuel Jimenez, alias ‘Bartolo’, ketika dia kanak-kanak dan menari di satu majlis perkahwinan keluarga.

“Dia memberitahu ibu bapa saya bahawa dia mahu memberikan ajaran percuma kepada saya, kerana saya adalah berlian yang dia mahu gilap,” katanya kepada AFP di Teatro Real, Madrid, sebelum persembahan sulungnya di sana pada malam Sabtu.

“Dalam keluarga kami, kami meraikan berita baik dengan menyanyi. Kanak-kanak berlagu dan menari, ia sangat biasa bagi mereka, refleks yang saya serap pada usia sangat muda tanpa menyedarinya.”

Dia baharu berusia tujuh tahun ketika dia pertama kali mula membuat persembahan untuk orang ramai di sebuah dewan di Barcelona.

Pada usia 11 tahun, dia sudah menjadi persembahan utama sewaktu jelajah di Taiwan.

Dan sebelum Sepanyol melaksanakan sekatan pergerakan di seluruh negara disebabkan oleh pandemik pada Mac lalu, dia menari selama empat bulan di pusat flamenco legenda Corral de la Moreria di Madrid.

‘TARIAN KEKUATAN’

 El Yiyo menunjukkan bakat tariannya semasa latihan’Flamenco Real’ di Teatro Real (Royal Theatre) Madrid baru-baru ini. —  Gambar AFP
TUNJUK BAKAT: El Yiyo menunjukkan bakat tariannya semasa latihan’Flamenco Real’ di Teatro Real (Royal Theatre) Madrid baru-baru ini. — Gambar AFP

‘El Yiyo’, yang pernah memperagakan pakaian untuk Armani dan IKKS dan malah dipaparkan dalam Vogue, menggunakan sekatan pergerakan untuk mereka tarian bagi pertunjukan yang dia sampaikan di Teatro Real.

Dia muncul di atas pentas bersama saudaranya Ricardo dalam satu persembahan yang mempamerkan keupayaannya untuk mengubahsuai.

Ketika dia mempersembahkan tarian ‘zapateado’, yang dibuat menerusi hentakan lantai dengan rentak yang cepat, salah satu tumit kasutnya patah.

‘El Yiyo’ dengan cepat menanggalkan kasutnya dan meneruskan persembahan dengan hanya memakai stoking yang kemudiannya menerima tepukan audiens.

“Tarian saya adalah keadaan minda,” katanya, sebelum menambah ia adalah “tarian kekuatan, kesungguhan”.

Sementara dia gembira dijemput untuk membuat persembahan di Teatro Real berusia dua abad, dia berkata “usaha masih banyak lagi untuk dijalankan” sebelum flamenco mempunyai “pengaruh” sewajarnya dalam institusi yang mulia seperti dewan opera Madrid.

Langsing dan dengan rambut hingga paras bahu, ‘El Yiyo’ – bentuk kecil Miguelillo (Miguel kecil) – berkata dia mendapat inspirasi daripada nama-nama hebat dalam flamenco.

“Saya cuba belajar sesuatu daripada semua mereka,” katanya.

PENDIDIKAN

ELEKTIK 

‘El Yiyo’ berkata dia meningkatkan latihan tarian rasminya dengan menonton persembahan bintang flamenco legenda yang sudah meninggal dunia, dalam Youtube, seperti Antonio Gades yang dia kagumi kerana ‘kesegakannya’ dan Carmen Amaya yang membuat persembahan dalam beberapa filem Hollywood di kemuncak kariernya pada tahun 1940an dan yang dia anggap sebagai ‘genius’.

Penari kontemporari yang dia kagumi adalah Antonio Canales dan Joaquin Cortes, yang menggabungkan pelbagai gaya dengan flamenco, dan ‘Farruquito’, yang dipuji oleh pengkritik kerana persembahan ketukan kakinya yang cepat dan memukau dan yang dia banggakan kerana pernah menari bersamanya.

Sementara ‘El Yiyo’ lebih seorang penari flamenco yang asli, dia berkata dia tidak melihat perkara yang salah untuk menggabungkannya dengan genre lain seperti blues, jazz atau rock, satu trend yang telah menjadi popular ekoran kejayaan penyanyi Sepanyol yang memenangi anugerah Grammy, Rosalia, yang menggabungkan flamenco dengan reggaeton, trap dan R&B.

Rosalia, yang bukan berbangsa Roma, pernah dituduh oleh segelintir pihak sebagai menyesuaikan sebentuk kesenian dengan asal usul Roma.

“Saya menyokong kepelbagaian, dengan cara itu terdapat julat penari asli yang luas, penari tidak asli, dan dengan cara itu, flamenco sentiasa menjadi tajuk perbincangan,” kata ‘El Yiyo’. — AFP

Advertisement