Anda di sini

Atletico pastikan Barcelona semakin merana

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan La Liga Sepanyol di antara Atletico Madrid dan Barcelona di Stadium Wanda Metropolitano di Madrid. — Gambar AFP
MENCABAR: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan La Liga Sepanyol di antara Atletico Madrid dan Barcelona di Stadium Wanda Metropolitano di Madrid. — Gambar AFP

MADRID: Atletico Madrid meningkatkan peluang mereka untuk memenangi kejuaraan La Liga Sepanyol apabila menewaskan Barcelona 1-0, sekali gus memberikan lawan mereka permulaan musim liga terburuk dalam tempoh 29 tahun pada Sabtu.

Yannick Carrasco melakukan penyudah cantik selepas kesilapan pemain pertahanan Barca, Gerard Pique dan penjaga golnya, Marc-Andre ter Stegen tetapi Barca dan Lionel Messi, gagal bangkit pada perlawanan di Stadium Wanda Metropolitano.

Sebaliknya, Atletico mencatat kemenangan liga pertama ke atas Barcelona dalam tempoh 10 tahun, sekali gus meletakkan mereka tiga mata di hadapan Real Madrid, dengan kurang satu perlawanan dan berada di tangga kedua, berkongsi mata dengan pendahulu liga, Real Sociedad.

Ia juga menyebabkan Barcelona tercicir ke  tangga ke-10 liga, dengan hanya mengumpul 11 mata dari lapan perlawanan pertama untuk rekod paling buruk mereka sejak musim 1991/1992.

“Seperti mana-mana jurulatih, saya bertanggungjawab,” kata jurulatih Barca, Ronald Koeman.

“Kami tahu kami harus memperbaiki keputusan ini. Saya masih percaya dengan pemain yang saya ada.”

Real Madrid sebelum itu diikat 1-1 oleh Villarreal dan satu lagi keciciran mata mungkin memberikan gambaran bahawa ia adalah tahun untuk Atletico.

Ia juga melanjutkan rekod  tanpa kalah Atletico dalam liga kepada 24 perlawanan.

“Saya bimbang,” kata Koeman. “Banyak kerosakan telah berlaku di kelab.”

Di Villareal, Real Madrid terpaksa bertahan untuk keputusan seri.

Mariano Diaz meletakkan Real di hadapan seawal minit pertama tetapi rentak permainan mereka menurun dan ia membolehkan Villarreal mengikat kedudukan menerusi penalti Gerard Moreno pada separuh masa kedua.

“Ia seperti ganjaran kecil kepada mereka,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane. “Kami selayaknya lebih banyak dari perlawanan ini. Saya terkilan dengan keputusan ini.”

Melihat dengan masalah ketiadaan pemain utama, keputusan seri mungkin tidak terlalu merisaukan Zidane.

Tetapi satu lagi keciciran mata bermakna Real hanya menang tiga dari tujuh perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan akan menentang Inter Milan pada perlawanan Liga Juara-Juara Rabu ini. — AFP

Advertisement