Anda di sini

Tunjuk perasaan di seluruh Brazil bantah kematian lelaki kulit hitam

Advertisement
 Orang ramai berarak di jalan raya sebagai tanda protes terhadap kematian lelaki kulit hitam di hadapan pasar raya Carrefour di Brazil. — Gambar AFP
TUNTUT PEMBELAAN: Orang ramai berarak di jalan raya sebagai tanda protes terhadap kematian lelaki kulit hitam di hadapan pasar raya Carrefour di Brazil. — Gambar AFP

BRASILIA: Kematian seorang lelaki berkulit hitam selepas dia dibelasah oleh pengawal keselamatan berkulit putih di sebuah pasar raya mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh Brazil kelmarin ketika negara tersebut menyambut Hari Kesedaran Orang Berkulit Hitam.

Sebuah video bagi insiden pada malam Jumaat lepas di kota selatan Porto Alegre yang dirakamkan dengan telefon bimbit seorang saksi disiarkan dalam rangkaian sosial dan media Brazil.

Selepas video itu tular, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan di Sao Paulo berarak ke sebuah cawangan rangkaian pasar raya Carrefour milik orang Perancis dan melontar bahagian depan pasar raya tersebut dengan batu sebelum mereka menyerbu premis, merosakkan dan membakar barangan, menurut seorang jurugambar AFP di tempat kejadian.

“Tangan Carrefour berlumuran darah orang berkulit hitam,” satu sepanduk yang dibawa oleh penunjuk perasaan menyebut.

Polis di Porto Alegre menggunakan gas pemedih mata dan bom tangan ‘flash bang” untuk meleraikan satu tunjuk perasaan yang telah terbentuk di depan pasar raya di mana kematian itu berlaku, menurut televisyen tempatan.

Tunjuk perasaan turut berlaku di ibu negara Brasilia, Belo Horizonte dan Rio de Janeiro, di mana orang ramai berpiket di sebuah pasar raya Carrefour untuk menghalang pelanggan daripada sampai ke kaunter keluar (checkouts).

“Carrefour boleh ditutup, ia sudah membunuh saudara kami, ia tidak akan berjaya!” laung puluhan orang muda yang membawa sepanduk dan pelitup muka dengan slogan "Black Lives Matter”.

Video dalam media sosial berkenaan menunjukkan tukang kimpal berusia 40 tahun Joao Alberto Silveira Freitas berulang kali ditumbuk pada bahagian muka dan kepala oleh seorang pengawal keselamatan ketika dia ditahan oleh seorang lagi pengawal keselamatan di sebuah pasar raya.

Seorang wanita berdiri di sebelah mereka sambil merakamkan kejadian dengan telefon bimbitnya.

Polis tentera di negeri Rio Grande do Sul berkata lelaki itu telah mengugut seorang pekerja wanita di pasar raya itu, yang memanggil pengawal keselamatan.

Silveira Freitas tidak sedar sewaktu serangan dan mati di tempat kejadian sementara ahli medik cuba menghidupkannya.

Seorang rakan mangsa yang menyaksikan kejadian memberitahu berita G1, ketika pengawal keselamatan membelasahnya, Silveira Freitas “menjerit bahawa dia tidak dapat bernafas”, satu senario yang mirip dengan kematian George Floyd, seorang lelaki berkulit hitam yang mati tercekek apabila seorang anggota polis berkulit putih di Amerika Syarikat (AS) berlutut di atas lehernya di Minneapolis pada Mei lalu, satu pembunuhan yang mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh AS.

Kedua-dua pengawal keselamatan pasar raya telah ditangkap. Seorang daripada mereka dikenali sebagai anggota polis tentera yang bekerja sambilan di pasar raya terbabit.

Dalam satu kenyataan, subsidiari Carrefour di Brazil mengecam “kematian kejam” Silveira Freitas dan berjanji untuk mengambil “langkah sewajarnya bagi mempertanggungjawabkan mereka yang terlibat dalam kes jenayah ini”.

Carrefour berkata ia akan memutuskan hubungan dengan syarikat keselamatan yang mengambil pengawal keselamatan terbabit sebagai pekerja mereka.

Dalam siri ciapan dalam bahasa Portugis, ketua Carrefour dari Perancis, Alexandre Bompard, menyampaikan ucapan takziah dan berkata gambar yang dipaparkan dalam media sosial “tidak dapat diterima”.

Pembunuhan itu mencetuskan kemarahan dalam rangkaian sosial dan membayangi Hari Kesedaran Orang Berkulit Hitam di Brazil, hari cuti di beberapa negeri.

Di Brazil, negara terakhir di benua Amerika yang memansuhkan perhambaan - pada 1888 - kira-kira 55 peratus daripada 212 juta penduduk menganggap diri sebagai berkulit hitam atau kacukan. — AFP

Advertisement