Anda di sini

Ting ikrar beri khidmat terbaik jika diberi peluang jadi wakil rakyat Bawang Assan

Advertisement
TING
TING

SIBU: Calon berpotensi Parti Demokratik Progresif (PDP) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan Kaunselor Joshua Ting berikrar akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada konstituensi itu.

Katanya, beliau sudah pun bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memberikan perkhidmatan dengan sebaik mungkin.

“Setelah diumumkan oleh Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing sebagai calon berpotensi PDP bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) pada Julai lalu, saya terus diarahkan bekerja keras.

“Dari situ banyak telah saya lakukan bagi membalas kepercayaan parti. Bagaimanapun, keputusan muktamad hanya ditentukan oleh pucuk pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada masa sesuai nanti.

“Bagaimanapun, saya tetap bekerja keras untuk rakyat selagi diberikan kepercayaan,” katanya di sini semalam.

Ting, 35, yang merupakan ahli perniagaan serta Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dan Ketua Pemuda PDP Bahagian Bawang Assan memberitahu, beliau menyertai politik atas keinginan untuk membangunkan Sarawak khususnya Sibu.

Jelasnya, beliau lebih kepada politik pembangunan iaitu membangunkan Bawang Assan dan penduduknya.

“Sarawak mempunyai banyak hasil sumbernya dan kaya dengan pelbagai kaum dan agama menyaksikan perpaduan sebagai keutamaan, namun masih kurang dari segi pembangunannya.

“Misi saya adalah memperjuangkan apa sepatutnya hak rakyat dapat serta kecapi bersama. Rakyat juga perlu mendapat pembangunan sewajarnya dan saya rasakan DUN Bawang Assan masih menghadapi kekurangan dari segi bekalan asas dan infrastruktur.

“Kedua-dua aspek ini menjadi keutamaan saya berkhidmat dan berpolitik ketika ini. Saya faham kedua-dua masalah itu amat menyulitkan rumah-rumah panjang yang masih belum menikmatinya,” jelas beliau.

Ting berkata, sepanjang program turun padang melawat serta berkunjung ke rumah-rumah panjang di DUN Bawang Assan, dua isu itu sering menjadi keutamaannya di samping menghulurkan bantuan yang dimohon penduduk.

“Sekiranya saya diberi peluang menjadi wakil rakyat kawasan ini, saya memberikan masa sepenuhnya kepada rakyat Bawang Assan, selain melawat semua 103 rumah panjang setiap tahun.

“Saya juga akan membangunkan kawasan yang didapati menghadapi kekurangan dalam perkara tertentu.

“Politik saya adalah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin untuk rakyat,” jelasnya.

Advertisement