Anda di sini

Terima kasih Sabah: Kurniawan

Advertisement
KURNIAWAN
KURNIAWAN

KOTA KINABALU: Ia tidak seperti diharapkan Kurniawan Dwi Yulianto dalam melaksanakan tugasnya selaku ketua jurulatih skuad Tambadau Sabah dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Pelbagai cabaran dihadapi jurulatih dari Indonesia itu melaksanakan tugasnya terutama selepas pandemik COVID-19 melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac ketika saingan Liga Super baru berlangsung empat perlawanan.

Perlawanan keempat menentang Perak itu pun dilangsungkan di Stadium Likas tanpa kehadiran penyokong bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan ianya berkesudahan seri 2-2.

Sebelumnya, Sabah memulakan kempen musim ini menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat lawan dengan kesudahan seri tanpa jaringan diikuti kemenangan sulung 3-1 ke atas Felda United di Stadium Likas tetapi tumbang 0-2 di tangan Pahang di tempat lawan.

Selepas perlawanan keempat itu, saingan Liga Super ditangguhkan dan hanya disambung  pada penghujung Ogos secara liga satu pusingan berbanding  liga dua pusingan jadual asalnya.

Semua baki tujuh perlawanan juga dilangsungkan tanpa kehadiran penonton. Itu pun Sabah  hanya beraksi enam perlawanan dan terpaksa memberi kemenangan percuma kepada UiTM FC dalam aksi terakhirnya selepas tidak dibenarkan terbang ke Shah Alam oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menghadapi perlawanan itu.

Jadual yang dilengkapkan dengan memberi kemenangan percuma kepada lawan itu menyaksikan Sabah hanya mengumpul sembilan mata dengan rekod dua menang, tiga seri dan enam kalah.

Ia meletakkan Sabah di tangga ke-10 di kalangan 12 pasukan iaitu kedudukan selamat terakhir untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Sabah juga dibatalkan penyertaan dalam saingan Piala Malaysia tetapi kejohanan tertua Asia Tenggara itu pun kemudiannya dibatalkan selepas hanya beberapa perlawanan.

Sehubungan dengan itu, tidak adil untuk menilai kemampuan sebenar Sabah kerana sepanjang PKP yang masih berlarutan sehingga sekarang, persiapan pasukan terjejas teruk di mana pemain lebih banyak berlatih sendiri di rumah.

Ia bukan musim pertama yang mudah buat Kurniawan dan belum pasti sama ada akan ada musim kedua buatnya di sini kerana Sabah FC yang akan membawa cabaran Sabah dalam saingan Liga Malaysia musim depan belum menamakan ketua jurulatih.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Dato Verdon Bahanda malam semalam memberitahu bahwa bakal ketua jurulatih Sabah FC mungkin akan diumumkan minggu depan.

Sementara itu, Kurniawan berterima kasih kepada `keluarga besar' Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) termasuk penyokong pasukan kerana menerima kehadirannya dengan baik sepanjang bersama pasukan.

Bekas penyerang sensasi Indonesia itu meminta maaf kerana belum memberikan hasil seperti diharapkan semua penyokong.

"Saya ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada semua penyokong, pemain dan semua pihak yang telah menerima saya dengan sangat baik selama saya berada di sini...mereka semua sudah menjadi seperti keluarga saya di Sabah.

"Saya juga minta maaf yang sebesar-besarnya kalau belum bisa memberi hasil sesuai dengan ekspektasi dari semua penyokong.

"Minta maaf kalau ada salah, baik disengaja mahupun tidak sengaja, dari dalam hati saya yang paling dalam, saya mendoakan agar Sabah bisa sukses selalu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Kurniawan dilantik oleh SAFA sebagai ketua jurulatih skuad utama Sabah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Beliau menggantikan Jelius Ating yang membawa kejuaraan Liga Perdana buat skuad itu musim lalu tetapi tidak dapat meneruskan khidmat sebagai ketua jurulatih kerana tiodak memiliki lesen kejurulatihan Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Advertisement