Anda di sini

Rakyat syukuri bantuan kerajaan harungi waktu sukar

Advertisement
 

KUCHING: Pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak Mac lalu memberi impak yang mendalam kepada seluruh masyarakat.

Kesannya bukan sahaja dari segi menjalani kehidupan dalam norma baharu bagi mengekang penularan COVID-19, malah ramai yang terjejas sumber pendapatan dan ada yang hilang pekerjaan.

Namun, rakyat menarik nafas lega apabila kerajaan persekutuan mengumumkan berita baik menerusi pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat yang terjejas, termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan BPN 2.0 yang bukan sekadar menyasarkan golongan berkeluarga, tetapi juga individu bujang.

 

Rata-rata masyarakat melahirkan penghargaan dan terima kasih atas bantuan berkenaan yang disifatkan sedikit sebanyak membantu meringankan beban terutama untuk membeli keperluan harian.

 Nurul Baizura (kanan) yang juga peniaga bersyukur atas bantuan kerajaan.
TERUS BERTAHAN: Nurul Baizura (kanan) yang juga peniaga bersyukur atas bantuan kerajaan.

Peniaga, Nurul Baizura Surya, 30, berkata, beliau amat bersyukur dengan bantuan kerajaan kerana dapat membantu rakyat yang amat memerlukan pada waktu sukar ini.

Katanya yang juga penerima BPN bagi kategori B40, bantuan itu meringankan beban mereka yang mempunyai gaji rendah untuk membeli barangan keperluan keluarga.

“Saya amat bersyukur dangan bantuan diberikan seperti BPN ini dan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan apa yang dilalui rakyat dalam situasi kini.

“Pada saya, bantuan yang diberikan sudah pasti dapat digunakan untuk keperluan harian, membayar sewa rumah, bil elektrik dan air,” katanya.

Nurul Baizura, ibu kepada dua orang anak, berkata beliau akan menggunakan bantuan daripada kerajaan itu sebaiknya demi meneruskan kelangsungan hidup semasa pandemik COVID-19.

SHARIFAH MAIMUNAH
SHARIFAH MAIMUNAH

Sharifah Maimunah Wan Othman, penerima BPN ka-tegori M40 pula berpendapat, pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan bertujuan menjaga kebajikan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Kata ibu kepada tiga orang anak itu, BPN amat bermakna untuk membeli barangan keperluan harian sekeluarga.

“Saya bersyukur atas bantuan berterusan daripada kerajaan ini dan akan menggunakannya untuk keperluan dapur,” katanya.

Sharifah Maimunah yang juga suri rumah berkata, bantuan tunai itu mungkin mencukupi bagi keluarga yang kurang daripada empat orang.

Justeru, beliau mencadangkan agar jumlah bantuan ditambah bagi penerima yang mempunyai keluarga besar dan memerlukan keperluan harian yang lebih banyak.

ABANG MOHD SAHIBUL
ABANG MOHD SAHIBUL

Sementara itu, penerima BPN bagi individu bujang, Abang Mohd Sahibul, 27, pekerja swasta, berkata beliau amat bersyukur atas bantuan kerajaan itu.

Menurutnya, bantuan itu meringankan bebannya kerana syarikat tempat beliau bekerja membayar gaji berdasarkan komisen.

“Saya bekerja sebagai penasihat jualan dan gaji dibayar berdasarkan jualan atau komisen, justeru saya bersyukur kerana kerajaan memberi bantuan seperti BPN.

“Dengan bantuan tunai kerajaan ini, ia sekurang-kurangnya dapat membantu saya menampung bil-bil termasuk bayaran pinjaman kereta, selain membantu keluarga,” katanya.

Bagi Abang, bantuan RM350 untuk individu bujang itu mencukupi dan berharap penerima akan menggunakan wang berkenaan dengan sebaiknya.

ALLEN
ALLEN

Bagi jurugambar dan perancang kewangan, Allen Ang, 38, pandemik COVID-19 telah menjejaskan kehidupan dan pekerjaannya.

Allen yang juga penerima BPN berhasrat menyimpan wang tersebut sebagai dana kecemasan.

“Sejujurnya, jumlah yang saya telah terima tidak mencukupi untuk membayar pinjaman rumah saya. Ia mungkin cukup untuk membayar semua bil saya dan minyak selama sebulan sahaja.

“Jadi saya menyimpan wang tersebut sebagai persiapan menempuh waktu sukar ini,” katanya.

SITI AISHAH
SITI AISHAH

Sementara itu, pegawai tadbir Siti Aishah Ong Abdullah, 39, berkata 2020 merupakan tahun paling mencabar bagi semua orang.

Bagaimanapun katanya, beliau berasa lega apabila kerajaan mengumumkan BPN bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Ramai di antara kita berjuang dengan kehidupan. Begitu juga saya. Semasa Perdana Menteri kita mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, saya terus memikirkan tentang pekerjaan dan gaji saya.

“Saya memikirkan bagaimana untuk terus bertahan dalam hidup. Suami saya tidak dapat bekerja kerana beliau membantu adiknya di pasar terbuka dan sebahagian besar gerai makan ditutup,” katanya.

Siti Aishah berkata, hakikatnya jumlah bantuan kerajaan tidak mencukupi kerana setiap orang memiliki keperluan berbeza, namun beliau tetap bersyukur seadanya.

“Wang bantuan ini meringankan beban kami. Kami menggunakannya untuk membeli keperluan harian termasuk barang makanan,” katanya.

LEAH
LEAH

Seorang lagi penerima BPN, Leah Choo, 27, ketika ini ‘terkandas’ di Kuala Lumpur sejak pelaksanaan PKP pada Mac lalu.

“Saya amat bertuah kerana tinggal bersama saudara saya di sini, jika tidak saya mungkin jadi gelandangan. Saya hilang kerja sepenuh masa sejak Julai,” katanya.

Choo bersyukur kerana kerajaan telah menyalurkan bantuan tunai seperti BPN untuk membantunya menguruskan perbelanjaan harian.

“Saya percaya ini adalah cabaran dalam hidup dan saya telah melakukan beberapa pekerjaan bagi menampung pendapatan saya untuk tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement