Anda di sini

Musim tengkujuh di Sibu jejas bekalan sayur hijau di pasaran

Advertisement
 Sebahagian daripada kebun milik Tieu di Sungai Bidut yang ditenggelami air.
BANJIR: Sebahagian daripada kebun milik Tieu di Sungai Bidut yang ditenggelami air.

SIBU: Musim tengkujuh yang mula melanda bahagian ini telah menjejaskan bekalan sayuran hijau yang dijual di pasaran di bandar ini.

Pengerusi Persatuan Penanam sayur Sibu (SVPA) Tieu Kui Sing berkata, hujan lebat sejak beberapa hari lalu telah menjejaskan tanaman sayuran hijau.

“Ini menyebabkan sayur yang ditanam mati dan menjejaskan bekalan sayur di pasaran. Keadaan ini juga memaksa harga sayur dinaikkan antara RM0.50 dan RM1 sekilo,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Tieu yang mengusahakan kebun sayur seluas lima ekar di Sungai Bidut berkata, keadaan semasa telah menjejaskan beliau serta penaman sayur yang lain.

“Kita terpaksa menanggung kerugian disebabkan musim tengkujuh dan banjir kilat yang berlaku.

“Diharap pihak berkuasa atau Jabatan Pertanian dapat membantu kita sedikit sebanyak,” jelasnya.

Tieu juga menyeru pihak kerajaan agar menyediakan kawasan yang lebih sesuai atau kawasan yang lebih tinggi kepada mereka untuk menanam sayur-sayuran.

Ini kerana katanya, kebanyakan kawasan di Sungai Bidut terletak di kawasan tanah rendah dan kerap dilanda banjir kilat atau air pasang besar.

“Kita amat berharap pihak kerajaan dapat membantu kita dalam perkara ini,” ujarnya sambil menambah SVPA kini mempunyai lebih kurang 300 ahli.

Advertisement