Anda di sini

Mayat lelaki ditemui di landasan kereta api Beaufort-Halogilat

Advertisement
 Seorang lelaki yang berlumuran darah ditemui maut di landasan kereta api Beaufort-Halogilat di Batu 62 ½ , Beaufort.
MAUT: Seorang lelaki yang berlumuran darah ditemui maut di landasan kereta api Beaufort-Halogilat di Batu 62 ½ , Beaufort.

BEAUFORT: Seorang lelaki ditemui maut disyaki akibat terbabit kemalangan di landasan kereta api Beaufort-Halogilat, di Batu 62 ½ di sini, kira-kira jam 4 petang, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superitendan Azmir Abd Razak berkata mangsa dikenali sebagai Sabiri Idong, 56, dan kes itu setakat ini diklasifikasikan mati mengejut.

“Mangsa didapati mengalami kecederaan parah pada bahagian leher dan dadanya ketika ditemui di tempat kejadian,” katanya, menerusi kenyataan medianya, di sini.

Azmir berkata aduan kes terbabit diterima daripada seorang pemandu kereta api, 47, yang memberitahu bahawa ada mayat lelaki ditemui orang awam di landasan pengangkutan itu.

Menurutnya, pengadu menerima maklumat berkenaan daripada Ketua Stesen Kereta Api Beaufort semasa dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya kira-kira jam 4 petang.

“Siasatan awal mendapati pengadu membawa penumpang dari Stesen Beaufort ke Stesen Halogilat kira-kira jam 1.30 petang, sebelum tiba semula di Beaufort kira-kira 3 petang.

“Pengadu mengaku tidak melihat mangsa di landasan terbabit dan tidak menyedari jika ada kemalangan berlaku dalam perjalanannya antara Beaufort-Halogilat-Beaufort.

“Mayat lelaki di landasan itu hanya disedari seorang pemandu kereta api kecil yang lain semasa bertolak dari Halogilat ke Beaufort kira-kira jam 3.30 petang pada hari kejadian.

Beliau berkata pemandu kereta api itu dalam perjalanan mengambil barang sebelum menyedari ada mayat manusia yang berada di atas landasan dan dikerumuni haiwan liar.

“Pemandu kereta api dari Halogilat itu memaklumkan penemuan mayat terbabit kepada Ketua Stesen Kereta Api Beaufort yang kemudiannya bertindak menghubungi pengadu.

“Turut berada di lokasi kejadian, pegawai perubatan dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya, sambil mengesahkan siasatan kes itu masih diteruskan.

  • oleh
  • Advertisement