Anda di sini

Mangsa kebakaran Rh Naga, Rh Jackson Atit terima bantuan daripada kerajaan negeri

Advertisement
 Harden (dua kiri) menyerahkan cek bantuan kepada mangsa kebakaran Rumah Naga dan Rumah Jackson Atit, Kampung Rasau, Engkilili kelmarin.
TERIMALAH: Harden (dua kiri) menyerahkan cek bantuan kepada mangsa kebakaran Rumah Naga dan Rumah Jackson Atit, Kampung Rasau, Engkilili kelmarin.

KUCHING: Mangsa kebakaran di Rumah Naga dan Rumah Jackson Atit, Kampung Rasau, Engkilili menarik nafas lega dengan bantuan diterima daripada kerajaan negeri.

Bantuan dalam pelbagai bentuk dengan keseluruhan jumlah RM177,350 itu disalurkan kepada 18 keluarga terjejas menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis berharap bantuan itu dapat meringankan beban mangsa.

“Bantuan ini adalah daripada kerajaan negeri Sarawak yang diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di bawah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak untuk disalurkan kepada mangsa menerusi JKM Sarawak.    

“Banyak lagi insentif bantuan lain yang ada disediakan oleh kerajaan dan saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban mangsa,” katanya ketika hadir menyerahkan bantuan tunai berjumlah RM144,200 kepada mangsa, kelmarin.

Selain bantuan tunai, mangsa juga menerima bantuan awal makanan dengan nilai RM3,050 serta bantuan catuan makanan di pusat pemindahan sementara selama dua minggu bernilai RM30,100.

Kebakaran yang berlaku pada 16 September lepas telah memusnahkan dua rumah panjang tersebut.  

Hadir sama Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Daniel Bujal, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Vivian Engkiong serta yang lain.

Advertisement