Anda di sini

Letupan kuat gegarkan Kabul

Advertisement
 Orang awam memeriksa kerosakan yang disebabkan oleh serangan roket di Khair Khana di Kabul, Afghanistan. — Gambar AFP
ROSAK: Orang awam memeriksa kerosakan yang disebabkan oleh serangan roket di Khair Khana di Kabul, Afghanistan. — Gambar AFP

KABUL: Siri letupan kuat menggegarkan pusat Kabul semalam, termasuk beberapa roket yang jatuh berhampiran Zon Hijau yang dikawal ketat di mana banyak kedutaan dan syarikat antarabangsa berpangkalan.

Tiada laporan segera diterima mengenai kematian tetapi letupan berlaku di bahagian yang padat dengan penduduk di ibu kota Afghan.

Jurucakap polis Kabul Ferdaws Faramarz mengesahkan “beberapa buah roket” telah dilepaskan, manakala gambar dalam media sosial dipercayai menunjukkan kerosakan kepada tembok luar di sebuah kompleks perubatan besar.

Kementerian dalam negeri berkata dua letupan “bom melekit” kecil  dilaporkan awal pagi semalam, termasuk satu yang terkena sebuah kereta polis, mengorbankan seorang anggota polis dan mencederakan tiga lagi.

Tiada kumpulan segera mengaku bertanggungjawab bagi letupan itu, yang berlaku di tengah-tengah gelombang keganasan yang sedang berlaku dan menyebabkan kemusnahan di seluruh Afghanistan sejak beberapa bulan lalu.

Puak Taliban berjanji untuk tidak menyerang kawasan bandar di bawah syarat perjanjian pengunduran Amerika Syarikat (AS), tetapi pentadbiran Kabul menyalahkan pemberontak atau proksi mereka bagi serangan lain baru-baru ini di Kabul.

Perunding kerajaan Afghan dan Taliban melancarkan rundingan damai di Doha pada September lalu tetapi kemajuan ternyata perlahan.

Bagaimanapun pegawai memberitahu AFP kelmarin bahawa kemajuan dijangka diumumkan dalam masa beberapa hari akan datang, dan Jabatan Negara AS mengumumkan lewat kelmarin bahawa Setiausaha Negara Mike Pompeo akan berjumpa dengan perunding dari puak Taliban dan kerajaan Afghan di Doha.

Trump sudah beberapa kali berjanji untuk menamatkan “peperangan selama-lamanya”, termasuk di Afghanistan, konflik paling lama dalam sejarah AS yang bermula dengan serangan untuk menggulingkan puak Taliban ekoran serangan 11 September 2001.

Joe Biden yang bakal menjadi presiden, dalam satu perkara yang turut dipersetujuinya, turut menyokong usaha untuk menamatkan peperangan di Afghanistan tetapi penganalisis percaya beliau tidak akan begitu terikat dengan jadual masa yang cepat.

Pada awal minggu ini, Pentagon berkata ia akan mengeluarkan kira-kira 2,000 anggota tentera dari Afghanistan, untuk mempercepatkan jadual masa yang ditetapkan dalam satu perjanjian pada Februari lalu di antara Washington dengan puak Taliban yang membayangkan pengunduran AS sepenuhnya pada pertengahan tahun 2021.

Sejak enam bulan lalu, puak Taliban melancarkan 53 serangan bunuh diri dan 1,250 letupan yang mengorbankan 1,210 orang awam dan mencederakan 2,500 orang, kata jurucakap kementerian dalam negeri Tariq Arian pada minggu ini. — AFP

Advertisement