Anda di sini

Kerajaan tidak tolak haramkan jualan arak di kedai runcit di negeri lain

Advertisement
 Ahmad Marzuk (kiri) menyampaikan keperluan makanan harian kepada penerima bantuan, Semah Mat Husin, 58, (tengah) sempena Majlis Penyerahan Program Inspirasiku MyHaus Di Bawah YaPEIM dan Sumbangan Program Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) 2.0 Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Parang Putting, Batu 6 Pengkalan Chepa di Kota Bharu, semalam. Turut hadir Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan. — Gambar Bernama
PRIHATIN: Ahmad Marzuk (kiri) menyampaikan keperluan makanan harian kepada penerima bantuan, Semah Mat Husin, 58, (tengah) sempena Majlis Penyerahan Program Inspirasiku MyHaus Di Bawah YaPEIM dan Sumbangan Program Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) 2.0 Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Parang Putting, Batu 6 Pengkalan Chepa di Kota Bharu, semalam. Turut hadir Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan. — Gambar Bernama

KOTA BHARU: Kerajaan tidak menolak kemungkinan memperluaskan pengharaman jualan arak di kedai serbaneka dan kedai runcit di negeri selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan menerima komen positif daripada masyarakat merentasi kaum berhubung langkah itu yang dijangka dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula Oktober tahun depan.

“Hingga ke tarikh ini kita hanya mengehadkan pengharaman jualan arak ini di Wilayah Persekutuan, namun kita tidak menolak kemungkinan akan diperluaskan ke tempat-tempat lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Inspirasiku MyHaus di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia semalam.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan kunci rumah kepada ibu tunggal Rashidah Semail, 48, dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pihaknya juga menerima aduan daripada pekerja kedai serbaneka yang terpaksa menjual arak.

“Sebenarnya negara kita agak terkebelakang dari sudut pengawalan penjualan minuman keras ini dan jika kita tengok negara jiran kita seperti Singapura, undang-undang mereka lebih ketat dan ada had-had dan masa-masa tertentu,” katanya. — Bernama

Advertisement