Anda di sini

Belanjawan 2021 negeri Sabah fokus tangani COVID-19 dan baikpulih ekonomi

Advertisement
 Nizam menyampaikan bantuan bakul makanan kepada Amir.
BANTUAN : Nizam menyampaikan bantuan bakul makanan kepada Amir.

TAWAU : Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan ke arah menangani pandemik wabak COVID-19 dan memantapkan ekonomi Sabah dalam Belanjawan 2021 akan datang.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata fokus Belanjawan 2021 negeri Sabah sudah pasti lebih kepada isu kesihatan dan baikpulih ekonomi.

"Pandemik COVID-19 banyak memberi implikasi kepada kehidupan penduduk di seluruh dunia dan rakyat di negeri ini juga ramai yang terjejas ekoran sektor ekonomi global yang merundum,"katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga berusaha memantapkan dan menjana kembali ekonomi negeri yang selama lebih dua tahun berada dalam keadaan tidak begitu baik.

"Dua perkara itu akan menjadi fokus utama pada pembentangan Bajet Negeri yang dibentang dalam masa terdekat ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan datang,"katanya.

Demikian bayangan Belanjawan 2021 Sabah yang digambarkan secara tidak lengkap ketika ditemui media di Kg. Titingan, di sini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan daripada Yayasan Taiwan Buddhist Tzu-Chi Malaysia (Tawau) kepada 760 penduduk kampung berkenaan.

Berkaitan sumbangan itu, beliau memuji usaha dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu penduduk yang terjejas susulan COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu berkata, semua Ngo, syarikat korporat, pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai kemampuan disaran untuk bersama-sama kerajaan membantu penduduk.

"Dengan bantuan ini diharap dapat meringankan beban keluarga yang berada dalam kesukaran kerana kita belum lagi menang menangani COVID-19, sebab itu semua pihak harus bersatu,"katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru para penyumbang berhubung dengan jawatankuasa pengurusan bencana daerah atau negeri bagi melancarkan sumbangan yang ingin diberikan di peringkat akar umbi.

"Hal ini bagi mengelak berlakunya pertindihan sumbangan dan dalam masa sama kita mahu semua masyarakat mendapat bantuan sebaik mungkin,"katanya lagi.

Sementara itu, penerima bantuan Amir,43, berkata bantuan bakul makanan yang diberikan oleh kerajaan dan NGO sangat membantu mereka sekeluarga dalam menghadapi wabak.

Beliau yang merupakan orang kurang upaya (OKU) juga sangat bersyukur kerana dengan adanya bantuan yang diberikan dapat meringankan beban keluarganya.

"Selama ini hanya anak yang bekerja menyara hidup kami sekeluarga, namun disebabkan wabak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlaku sekarang, pendapatan anak juga terjejas.

"Gaji mereka juga terpaksa dikurangkan kerana premis tempat dia bekerja tidak banyak untung dan terjejas kerana terpaksa dihadkan masa berniaga,"katanya.

Bapa kepada lima anak ini, menzahirkan rasa syukur kerana wakil rakyat Apas sangat prihatin membantu dan tidak putus-putus memberikan bantuan makanan.

"Kami sekeluarga akan sentiasa memberikan sokongan kepada Adun Apas kerana beliau merupakan pemimpin yang berjiwa rakyat dan selalu turun padang menyantuni masyarakat,"katanya.

  • oleh
  • Advertisement