Anda di sini

Bantu penduduk terjejas angkara COVID-19

Advertisement
 Nizam (tengah) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Batu Payung.
BANTUAN : Nizam (tengah) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Batu Payung.

... Syarikat GLC, swasta perlu mainkan peranan
 TAWAU: Peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dalam membantu penduduk yang terjejas susulan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat diperlukan pada masa sekarang.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kerajaan negeri berharap semua pihak yang mempunyai kelebihan supaya menjalankan program tangunggjawab sosial (CSR) bagi meringankan bebanan masyarakat yang menghadapi kesukaran hidup.

"Penglibatan syarikat korporat dalam membantu golongan-golongan sasar di negeri ini sangat dialu-alukan kerana masih ramai lagi penduduk yang memerlukan bantuan dari segi makanan asas.

"Walaupun pihak kerajaan sudah memberikan bakul makanan, namun masih ada lagi sebahagian penduduk yang masih terjejas terutamanya kawasan-kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dalam tempoh yang lama,"katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas berkata demikian semasa menghadiri majlis sumbangan sebanyak 1200 buah bakul makanan daripada beberapa syarikat di Kampung Batu Payung, di sini semalam.

Mengulas lanjut, bantuan yang disumbangkan oleh Syarikat TSH Resources Berhad, Bumitech Auto Parts Sdn Bhd dan Armada Marititm Services Sdn Bhd itu akan diagihkan kepada penduduk yang betul-betul terjejas.

"Pihak kita sudah mengenal pasti golongan yang memerlukan terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas termasuklah mereka yang dikenakan kuarantin ketika ini.

"Selain itu, bantuan itu juga akan diberikan kepada penduduk di PPR Taman Sri Bukit Tawau yang dianggarkan sebanyak 400 penerima dalam usaha menjejaki mereka dikenal pasti sangat memerlukan,"katanya. 

Mengulas mengenai bantuan daripada kerajaan negeri, beliau berkata sehingga hari ini lebih 100,000 bakul makanan sudah berjaya diagihkan kepada rakyat di negeri ini.

"Bakul makanan ini akan diberikan secara berterusan terutamanya kepada mereka yang dikuarantin ataupun kawasan-kawasan yang dikenakan PKPD,"katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Syarikat Bumitech Auto Parts Sdn Bhd Muhammad Shahnon Basir sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan pemimpin di DUN Apas dalam melaksanakan program CSR kali ini.

Beliau berkata, sebelum ini syarikatnya melakukan program tersebut secara bersendiri dan turun padang memberikan bantuan kepada masyarakat di kampung-kampung.

Namun, kali ini pihak syarikat mengambil langkah seperti yang dicadangkan oleh pihak kerajaan supaya bekerjasama dengan wakil rakyat bagi mengelak berlakunya pertindihan agihan bantuan.

"Kita mengharapkan dengan adanya bantuan tersebut dapat meringankan bebanan penduduk yang terjejas dan tiada lagi berlakunya keciciran agihan bantuan terutamanya mereka yang berada di pendalaman,"katanya.

  • oleh
  • Advertisement