Anda di sini

PNB lancarkan Minggu Saham Digital

Advertisement
 Dari kiri, Tan Sri Dr. Zeti Aziz, Tengku Datuk Seri Zafrul dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn merasmikan karnival digital pada majlis pelancaran maya yang disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube dan laman Facebook rasmi Minggu Saham Digital (MSD).
PELANCARAN MAYA: Dari kiri, Tan Sri Dr. Zeti Aziz, Tengku Datuk Seri Zafrul dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn merasmikan karnival digital pada majlis pelancaran maya yang disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube dan laman Facebook rasmi Minggu Saham Digital (MSD).

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah  melancarkan Minggu Saham Digital (MSD), adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) pada Khamis lalu dan majlis perasmian mayanya telah disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube dan laman Facebook rasmi MSD.

MSD meneruskan objektif MSAM untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman masyarakat tentang kepentingan menyimpan dan melabur dalam format hibur didik, sambil mempamerkan portfolio syarikat-syarikat pelaburan PNB dan operasi perniagaan mereka.

Menteri Kewangan dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn merasmikan pelancaran maya karnival digital itu yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube dan laman Facebook rasmi MSD.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi YPB turut mengucapkan tahniah kepada PNB atas inisiatif membawa acara literasi kewangan tahunannya dengan format digital baharu melalui perutusan video.

Menurut kenyataan yang sama, Tengku Zafrul juga mengulangi ucapan tahniah Perdana Menteri kepada PNB atas kejayaan membawa MSAM ke platform digital.

Tengku Zafrul berkata inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan menggalakkan ekonomi digital untuk mempercepatkan pelan pemulihan ekonomi negara kesan daripada pandemik COVID-19.

“Berdasarkan ketidakpastian akibat COVID-19, pengurusan dan perancangan kewangan untuk individu dan keluarga kini menjadi lebih penting dari sebelumnya.”

“Adalah tidak terlambat untuk bijak menyimpan dan melabur demi kelangsungan kewangan masa depan. Penganjuran MSD ini tepat pada masanya untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya kesedaran kewangan dan pendekatan digital ini menjadikannya lebih mudah untuk memanfaatkan sepenuhnya apa yang ditawarkan oleh PNB,” katanya.

Pada majlis tersebut, penonton dipaparkan visual sekilas evolusi MSAM selama dua dekad sejak pengenalannya pada tahun 2000, daripada penganjuran secara fizikal ke seluruh negara hinggalah ke format dalam talian pada tahun ini.

MSD adalah manifestasi usaha PNB mendukung agenda digitalisasi sebagai sebahagian daripada pelan transformasi organisasi, menurut PNB.

Pengurus dana itu juga menjelaskan jika MSAM menarik pengunjung di kawasan tertentu, MSD pula  membolehkan pihaknya meneruskan usaha untuk meningkatkan tahap celik kewangan dan mendekati segenap rakyat dengan sentuhan di hujung jari mereka.

Sementara itu, Zeti pula berkata, seiring berkembangnya masyarakat digital dan kemajuan teknologi kewangan (fintech), adalah sangat penting untuk meningkatkan literasi kewangan digital dalam kalangan masyarakat.

“Untuk menjadi pemangkin kepada usaha ini, pada tahun ini kami telah merombak Minggu Saham Amanah Malaysia ke format digital yang mudah dilayari dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia. Minggu Saham Digital  (MSD)  dengan tema #LaburBersama adalah untuk mendidik masyarakat menjadi lebih bijak dalam menguruskan kewangan,” katanya.

“Walaupun MSD berlangsung di platform digital, program yang diaturkan adalah menyeluruh bagi membolehkan kami mendekati dan berinteraksi dengan segenap lapisan rakyat pada semua peringkat umur secara serentak di seluruh negara, berbanding dengan penganjuran MSAM secara fizikal yang hanya dikunjungi oleh masyarakat di negeri ia dianjurkan.”

“MSD diatur padat dengan aktiviti interaktif serta hibur didik untuk membimbing dan meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan simpanan dan pelaburan. Segalanya boleh diikuti dari mana jua, termasuk di rumah bersama keluarga atau rakan-rakan,”katanya

MSD dianjurkan bersama dengan syarikat pelaburan dan rakan korporat PNB. Maybank, Sime Darby Plantation Berhad dan UMW Holdings Berhad adalah dalam kategori Rakan Premier. Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, S P Setia Berhad, MIDF Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) adalah dalam kategori Rakan Utama; manakala MNRB Holdings Berhad (MNRB), CCM Berhad, Duopharma Biotech Berhad, Velesto Energy Berhad, Sapura Energy Berhad, dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd adalah dalam kategori Rakan.

Semasa majlis tersebut, PNB juga melancarkan dana harga berubah baharu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), ASN Imbang 3 Global, yang merupakan produk unit amanah pertama ASNB yang melabur di pasaran kewangan luar negara dan terbuka untuk semua rakyat Malaysia. Sementara itu, MNRB memperkenalkan produk terbaharu Takaful IKHLAS iaitu polisi-polisi IKHLAS BERSAMA dan IKHLAS DARIKU. Takaful Ikhlas Family Berhad adalah anak syarikat milik penuh MNRB.

MSD bersiaran setiap hari dari jam 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam dari 18 hingga 24 November 2020 melalui laman Facebook dan saluran YouTube rasmi MSD. Penonton dapat menyaksikan pelbagai program hibur didik dengan topik-topik kewangan, pelaburan, keusahawanan dan ekonomi, seperti Cikgu CEO, Makan Dulu, Sembang-Sembang ASNB dan ASB-Iclif MBA Masterclass Series.

Layari www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan maklumat lanjut dan jadual program.

  • oleh
  • Advertisement