Anda di sini

Napoli sasar kejuaraan liga pertama sejak 1990

Advertisement
 Gambar fail ini menunjukkan pasukan Napoli menjulang trofi kejuaraan selepas menumpaskan Juventus pada final Piala Itali bulan Jun lalu. — Gambar AFP
KOLEKSI TROFI: Gambar fail ini menunjukkan pasukan Napoli menjulang trofi kejuaraan selepas menumpaskan Juventus pada final Piala Itali bulan Jun lalu. — Gambar AFP

MILAN: Napoli bimbingan Gennaro Gattuso berdepan dengan ujian awal bagi cita-cita mereka untuk memenangi kejuaraan dalam perlawanan menentang pendahulu liga AC Milan yang diwakili Zlatan Ibrahimovic esok (Ahad) dalam pertemuan di antara dua bekas rakan sepasukan yang memburu kejuaraan Scudetto.

Ibrahimovic, 39, dan Gattuso, 42 tahun, bermain bersama di AC Milan ketika kelab itu memenangi kejuaraan terakhir daripada 18 kejuaraan Serie A mereka pada 2011.

Sejak itu Juventus mendominasi liga di Itali dan memburu kejuaraan liga ke-10 berturut-turut.

Milan menduduki tempat teratas dalam Serie A selepas tujuh pusingan dengan kelebihan dua mata ke atas Sassuolo di tempat kedua, manakala Napoli berada satu mata lagi di belakang di tempat ketiga.

Juventus menduduki tempat kelima, empat mata di belakang pendahulu, selepas permulaan yang tidak menentu di bawah jurulatih baharu Andrea Pirlo.

“Saya tidak suka mendengar cakap-cakap tentang kejuaraan Scudetto,” kata Gattuso, jurulatih Napoli, dan menggesa para pemainnya untuk “bertenang” sementara mereka menyasari kejuaraan liga pertama sejak 1990.

Gattuso, bekas pemenang Piala Dunia, menjadi pemain selama 13 tahun bersama AC Milan, selain melatih kelab itu antara 2017 hingga 2019.

AC Milan bertandang tanpa ketua jurulatih Stefano Pioli dan penolongnya Giacomo Murelli, selepas kedua-duanya dijangkiti koronavirus.

“Semua kita tahu kepentingan tinggi perlawanan ini, kami bersedia,” kata pemain tengah Milan, Alexis Saelemaekers.

“Jurulatih menjalankan kerja yang hebat selama beberapa bulan yang lepas dan pada Ahad, kami mahu bermain dan menang untuknya juga.”

Statistik memihak kepada Napoli yang tidak tewas dalam 11 perlawanan terakhir mereka menentang AC Milan.

Kemenangan liga terakhir Milan di Naples adalah pada Oktober 2010, musim yang menyaksikan Scudetto terakhir mereka, dengan Ibrahimovic yang menjaringkan gol.

Tetapi Napoli tewas dalam dua perlawanan terakhir mereka di tempat sendiri, dan akan bermain tanpa penyerang Victor Osimhen, yang cedera ketika menggalas tugas antarabangsa bersama Nigeria.

Pemain pertahanan Algeria Elseid Hysaj juga didapati positif bagi COVID-19 sewaktu perlawanan antarabangsa.

Juventus menerima kunjungan Cagliari, yang menewaskan mereka pada Julai lalu, dan memerlukan tiga mata penuh untuk memastikan mereka berada di dalam kumpulan pendahulu, dengan siri 10 perlawanan dalam semua pertandingan dalam tempoh empat minggu akan datang.

Dua pemain pertahanan Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini masih belum dapat nermain tetapi Matthijs de Ligt dijangka akan bermain buat pertama kali sejak dia menjalani pembedahan bahu pada Ogos lalu.

Sassuolo di tempat kedua mahu meneruskan momentum di kelab Hellas Verona yang menduduki tempat kelapan.

Atalanta dan Inter Milan mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan satu sama lain dalam perlawanan terakhir dan memerlukan keputusan yang positif sebelum perlawanan blockbuster masing-masing menentang Liverpool dan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara pada minggu depan.

Atalanta di tempat keenam bermain menentang Spezia di tempat lawan  manakala Inter Milan, satu mata di belakang di tempat ketujuh, bermain di tempat sendiri menentang Torino.

Inter bimbingan Antonio Conte mengutip hanya enam mata sahaja daripada lima perlawanan terakhir mereka, dan beberapa pemain tidak dapat bermain kerana virus, termasuk Marcelo Brozovic dan Aleksandar Kolarov.

Atalanta juga sudah hilang momentum dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini seleaps menjaringkan 13 gol dalam tiga perlawanan pertama mereka, dengan hanya satu kemenangan sahaja dalam empat perlawanan terakhir mereka.

Sementara itu Lazio bertandang ke Crotone dan penyerang bintang Ciro Immobile dijangka kembali daripada pengasingan tetapi pemain tengah Serbia Sergej Milinkovic Savic dijangkiti virus ketika menggalas tugas antarabangsa.

AS Roma, di tempat keempat, menerima kunjungan Parma tanpa penyerang Edin Dzeko, seorang daripada beberapa pemain dijangkiti COVID, manakala mereka menyasari kepulangan ke bola sepak Liga Juara-Juara pada musim akan datang. — AFP

Advertisement