Anda di sini

Mangsa terjatuh di pusat beli belah disahkan meninggal dunia

Advertisement
Mangsa semasa dibawa masuk ke dalam ambulans untuk dihantar ke HUS.
Mangsa semasa dibawa masuk ke dalam ambulans untuk dihantar ke HUS.

KUCHING: Lelaki yang dilaporkan terjatuh dari aras tiga sebuah pusat beli belah di sini disahkan meninggal dunia semasa sedang dirawat di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata mangsa,30, dari Jalan Penrissen ditemui terbaring di lantai pusat beli belah tersebut sekitar jam 1.25 petang.

Menurutnya, mangsa  kemudian dikejarkan ke HUS menggunakan ambulans selepas dia diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa dikatakan kelihatan murung di aras tiga bangunan pusat beli belah tersebut sebelum ditemui terbaring di lantai (ruang legar).

"Pegawai perubatan yang merawat mangsa mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di HUS setelah usaha menyelamatkannya dijalankan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa mengalami kecederaan di kaki kiri dan kepala.

Awang turut memberitahu hasil daripada temu bual keluarga mangsa mendapati dia sebelum ini pernah mendapatkan rawatan di Hospital Kota Sentosa.

"Menurut keluarganya, mangsa ada menghadapi masalah kesihatan mental dan pernah menerima rawatan," katanya.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah dalam kejadian ini.

Advertisement