Anda di sini

‘Macau Scam’, judi: Polis terlibat bakal digantung tugas, tamat perkhidmatan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota polis terlibat secara langsung dengan individu yang ditahan berkaitan sindiket judi dalam talian dan ‘Macau Scam’, bakal berdepan digantung tugas selain ditamatkan perkhidmatan jika pembabitan mereka dibuktikan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata proses rakaman percakapan dan pengumpulan bukti berhubung penglibatan 24 pegawai dan anggota seperti didakwa, masih dijalankan.

“Siasatan masih berjalan, namun setelah selesai siasatan pihak JIPS akan mengesyorkan kepada pihak tatatertib, untuk mereka dikenakan hukuman setimpal.

“Ia termasuk digantung tugas bagi melalui proses perbicaraan atau dibuang kerja, sekiranya terdapat bukti jelas berhubung penglibatan mendalam mereka dengan sindiket itu,” katanya kepada Bernama.

Menurut Zamri, kesemua mereka sehingga kini masih menjalankan tugas seperti biasa, dengan sebahagian besarnya telah ditukarkan ke unit lain termasuk pentadbiran.

Zamri berkata penggantungan tugas akan dibuat melibatkan pegawai dan anggota polis yang dituduh di mahkamah, berhubung tuduhan jenayah itu.

“Kesemua mereka akan digantung tugas daripada tarikh mereka mula dituduh sehingga selesai perbicaraan di mahkamah.

“Sekiranya di akhir perbicaraan mereka disabitkan bersalah, tindakan gantung (tugas) akan dilaksana sebelum diikuti dengan langkah seterusnya iaitu ditamatkan perkhidmatan,” katanya.

Menurut Zamri, perkara sebaliknya berlaku sekiranya mereka yang didakwa itu didapati tidak bersalah

“Jika diputuskan tidak bersalah, mereka akan diambil bekerja semula maka tempoh penggantungan tugas adalah bergantung kepada selama mana tempoh perbicaraan itu,” katanya.

Isnin lepas, Bernama melaporkan pegawai kanan PDRM adalah antara yang diambil tindakan, berikutan disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket berkenaan, yang turut menyaksikan rombakan besar-besaran dalam pasukan PDRM, melibatkan lebih 20 anggota, pegawai dan pegawai kanan pasukan keselamatan itu, ditukarkan.

Susulan itu, pada Selasa, Bernama melaporkan penyandang jawatan sensitif dalam perkhidmatan PDRM akan digilirkan dengan lebih kerap pada masa hadapan. — Bernama

Advertisement