Anda di sini

Lelaki buat laporan polis palsu kereta dipecah masuk, untuk bayar hutang judi online

Advertisement
 

MIRI: Tembelang seorang lelaki di sini mendakwa kenderaannya dipecah masuk hingga wang tunai berjumlah RM11,000 dan sebuah komputer riba hilang terbongkar selepas siasatan mendapati dia menggunakan duit tersebut untuk membayar hutang judi online.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, lelaki yang bekerja sebagai penyelia tapak projek sebuah syarikat itu mendakwa cermin kereta bahagian penumpang sebelah kiri Land Cruiser warna putih telah dipecah masuk oleh pihak tidak bertanggungjawab semasa di tempat letak kereta berhampiran premis makanan segera di Tanjung Lobang pada 20 Nov kira-kira jam 2 petang.

“Pengadu menyatakan semasa kejadian dia telah singgah untuk makan di restoran makanan segera seorang diri. Selang 40 minit pengadu kembali semula dapati kereta milik syarikat telah dipecah oleh orang dan komputer riba beserta wang tunai RM11,000 milik syarikat telah hilang dan anggaran kerugian RM15,000 .”

“Menurut pengadu duit tersebut adalah untuk pembayaran pendahuluan kepada pihak Sesco bagi pemasangan meter baru di tapak projek,” katanya yang mengesahkan perkara itu hari ini.

Pengadu itu kemudian membuat laporan polis dan sejurus selepas itu dia bersama anggota polis pergi ke tempat kejadian dan menemui kesan cermin kereta pecah.

Namun pihak polis curiga dengan laporan itu kerana pengadu langsung tidak kelihatan dalam rakaman  kamera litar tertutup (CCTV) di premis makanan segera pada waktu dan masa kejadian yang dilaporkan.

Lim berkata, pengadu kemudian mengaku cerita tersebut direka-reka dan memberitahu wang tunai sebanyak RM8,800 telah dimasukkan oleh pihak syarikat ke dalam akaun bank pengadu. 

“Pengadu kemudian menggunakan duit tersebut untuk membayar hutang judi online yang kesemuanya berjumlah RM11,000. Komputer riba milik syarikat tidak hilang dan pengadu sendiri mengaku memecahkan cermin kereta tersebut sendiri.

“Pengadu tidak mahu menceritakan masalah kewangannya kepada pihak majikan kerana bimbang dibuang kerja memandangkan telah lama bekerja di syarikat berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, suspek yang berusia 37 tahun telah ditahan semalam dan direman hari ini di Mahkamah Miri . 

Kes disiasat mengikut Seksyen 427/182 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement