Anda di sini

Kerajaan negeri mansuhkan kenyataan media berkaitan  Pas Lawatan Jangka Panjang

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan untuk memansuhkan kenyataan media Ketua Menteri bertarikh 4 September 2020 berkenaan sekatan Pas Lawatan Jangka Panjang bagi tiga warganegara iaitu India, Indonesia serta Filipina.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keadaan itu sekali gus akan menerima pakai ketetapan Kerajaan Persekutuan mengenai Sekatan Kemasukan ke Malaysia kepada pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang bagi negara-negara berisiko tinggi terhadap COVID-19 melalui surat Ketua Pengarah Imigresen Malaysia bertarikh 4 September 2020.

"Bagaimanapun senarai terkini negara-negara yang disekat kemasukan bagi pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang adalah Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina, Chile, Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan, ,Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq , Filipina dan  Indonesia 

"Senarai Pas Lawatan Jangka Panjang bagi warganegara yang dinyatakan yang tidak dibenarkan masuk ke Sabah adalah Pemastautin Tetap (PR), Pas Program Malaysia My Second Home (MM2H) , semua Ekspatriat – Pas Penggajian (Kategori I, II dan III), Pas Lawatan Ikhtisas dan Pas Tanggungan, Pas Suami atau Isteri kepada warganegara, Pas Pelajar serta Pas Lawatan Kerja Sementara," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, sekatan berkenaan turut melibatkan warganegara asing lain yang bermastautin atau mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang di negara-negara yang dinyatakan. Kelulusan masuk yang telah diberikan kepada warganegara terlibat juga tidak terpakai sepanjang tempoh sekatan. 

Akan tetapi katanya, senarai Pas Lawatan Jangka Panjang adalah dibenarkan masuk ke negeri Sabah setelah mendapat kelulusan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia dan tertakluk kepada panduan kemasukan ke negeri Sabah.

Bagaimanapun katanya, pengecualian sekatan kemasukan kepada 23 warganegara yang dinyatakan adalah diberikan bagi kategori seperti diplomat yang layak di bawah Perintah Pengecualian dan tanggungan.

"Bagi diplomat atau staf kedutaan yang belum mempunyai pas atau kemasukan kali pertama, mereka perlu mendapatkan kelulusan masuk dari Ketua Pengarah Imigresen terlebih dahulu. 

"Pengecualian sekatan juga diberikan kepada Anak Kapal yang masuk bagi menjalankan aktiviti sign-on atau joint ship dan sign-off.  Kru dan Pekerja Profesional di dalam industri petroliam (minyak dan gas) yang telah mempunyai pas dan diberi kelulusan masuk oleh Kerajaan Negeri," katanya.

Sehubungan dengan itu, Masidi berkata semua kemasukan ke Sabah adalah tertakluk kepada arahan-arahan sekatan kemasukan ke negeri ini yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa.

Katanya, panduan kebenaran masuk ke negeri Sabah dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan WP Labuan berkuat kuasa 3 Oktober 2020 hingga 6 Disember 2020.

Sementara itu katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Anjung Teduh Felda Sahabat, Lahad Datu pada 20 November 2020  lalu .

Bagaimanapun katanya, kesemua penduduk di lokaliti ini masih tertakluk kepada SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di seluruh negeri Sabah. 

"MKN juga bersetuju untuk melaksanakan PKPD di K-Avenue, Megacity, Penampang bermula 22 November 2020 sehingga 5 Disember 2020.  Pelaksanaan PKPD ini akan merangkumi pejabat, kuarters pekerja dan tapak pembinaan yang melibatkan sebanyak 400 orang penduduk. 

"SOP PKPD di Sabah adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu katanya, terdapat satu kluster baharu dilaporkan di daerah Tawau iaitu Kluster Kasir mencatatkan sebanyak 8 kes.

Katanya, keadaan itu sekaligus menjadikan jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 512 kes pada Jumaat.

"Jumlah kumulatif ialah sebanyak 25,441 kes. Tiga kes kematian dicatatkan iaitu dua di daerah Tawau dan satu di daerah Kota Kinabalu," katanya.

Advertisement