Anda di sini

Kejuaraan idaman

Advertisement
RAFAEL NADAL
RAFAEL NADAL

LONDON: Rafael Nadal menghidupkan harapannya untuk memenangi kejuaraan ATP Final pertamanya kelmarin apabila dia menewaskan juara bertahan Stefanos Tsitsipas 6-4, 4-6, 6-2 di London untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Pemain Sepanyol itu, yang sudah memenangi 86 kejuaraan perseorangan termasuk hanya satu di atas gelanggang keras tertutup, memburu hadiah terbesar yang tiada dalam resumenya di acara elit lapan pemain itu.

Pemain berusia 34 tahun itu layak ke ATP Final selama 16 tahun berturut-turut tetapi terpaksa menarik diri sebanyak enam kali.

Pemain pilihan kedua itu memenangi perlawanan pembukaannya menentang Andrey Rublev tetapi kekalahan kepada Dominic Thiem bermakna dia berdepan dengan perlawanan menentang juara 2019 Tsitsipas untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Kedua-dua pemain mantap ketika melakukan servis sehingga Nadal mengutip dua mata break pertama dalam set itu pada permainan ketujuh, yang dia gagal sempurnakan.

Tsitsipas sekali lagi menerima tekanan dalam permainan servis seterusnya dan kali ini, dia melakukan kesilapan double-fault pada mata break.

Nadal menggunakan kelebihannya, dengan melakukan pukulan ace berturut-turut untuk memenangi set itu 6-4.

Pemain Sepanyol itu, finalis dua kali di kejohanan itu, ada peluang lagi untuk merampas mata dalam permainan pertama di set kedua tetapi pemain pilihan keenam dari Greece itu keluar daripada bahaya dengan pukulan libas.

“Dalam kenyataan umum, perlawanan yang sangat positif bagi saya,” kata Nadal.

“Untuk mara ke peringkat separuh akhir di sini di kejohanan terakhir pada tahun ini adalah satu perkara penting. Gembira kerana itu dan menantikan perlawanan separuh akhir menentang Daniil.”

Dia menambah: “Ia sukar untuk bermain di sini menentang pemain terbaik dunia setiap hari, pada hujung musim dan kebanyakan waktu, kita datang ke sini dalam keadaan sedikit letih tetapi pada tahun ini, berbeza sedikit.” — AFP

Advertisement