Anda di sini

Jack Grealish enggan dibandingkan dengan legenda Gascoigne

Advertisement
 Grealish (kiri) semasa beraksi dalam Liga Negara UEFA di antara England dan Iceland, baru-baru ini. — Gambar AFP
CEMERLANG: Grealish (kiri) semasa beraksi dalam Liga Negara UEFA di antara England dan Iceland, baru-baru ini. — Gambar AFP

LONDON: Pemain sayap Aston Villa Jack Grealish menegaskan dia perlu menjadi bintang di satu kejohanan besar sebelum dia layak untuk dibandingkan dengan legenda England, Paul Gascoigne.

Grealish akhirnya seakan-akan sudah meyakinkan pengurus England Gareth Southgate tentang kualitinya selepas dia menyinar dalam tiga perlawanan antarabangsa.

Kapten Villa itu menyusuli persembahannya yang cemerlang ketika menentang Republik Ireland dan Belgium dengan satu lagi pretasi yang hebat dalam kemenangan 4-0 ke atas Iceland pada Rabu lepas.

Kejayaan Grealish bersama England tiba selepas pemain berusia 25 tahun itu pada mulanya mengalami kesukaran untuk meyakinkan Southgate walaupun mempamerkan prestasi yang cemerlang untuk Villa.

Stailnya yang ranggi ketika membawa bola telah mengundang perbandingan dengan Gascoigne, bekas pemain tengah Tottenham, Lazio dan Rangers, yang menjadi ikon kebangsaan selepas persembahannya yang cemerlang di Piala Dunia 1990 dan Kejuaraan Eropah 1996.

Grealish mengakui dia amat meminati Gascoigne, tetapi menjelaskan dia tidak layak menerima pujian sehingga dia menjadi tumpuan utama di Kejuaraan Eropah pada tahun depan atau Piala Dunia 2022.

“Saya berkembang daripada perbandingan seperti itu. Saya amat meminati Gazza,” kata Grealish.

“Saya telah menonton dokumentarinya dalam Netflix kira-kira sebanyak sejuta kali. Saya amat menyukai perwatakannya di atas padang dan di luar padang.

“Saya amat menyukai cara dia bermain bola sepak dengan begitu bebas dan begitu gembira. Kita dengar begitu ramai orang bercakap mengenainya dan berkata dia begitu menyeronokkan untuk dilihat – dan saya rasa itu adalah pujian terbesar yang kita dapat terima sebenarnya.

“Apabila orang berkata kepada saya: ‘Ia amat menyeronokkan untuk melihat anda’, ia membuatkan saya rasa gembira kerana itulah apa yang saya mahu buat. Saya hanya mahu menghiburkan orang.

“Tetapi saya juga mahu bermain dengan berkesan di atas padang, sama seperti Gazza. Tetapi perbandingan itu, saya rasa ternyata terlalu jauh sekali kerana saya belum lagu bermain di mana-mana kejohanan pun, tidak sepertinya.” — AFP

Advertisement