Anda di sini

Bukan warga Sarawak, kerajaan negeri tidak tanggung kos kuarantin - Masing

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan negeri tidak akan memberi subsidi kos kuarantin bagi suami atau isteri yang bukan rakyat Sarawak dan ingin kembali ke negeri ini untuk berjumpa semula dengan keluarga. 

Perkara itu ditegaskan Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Tan Sri Datuk Amar James Masing (gambar) yang menjelaskan suami atau isteri bukan rakyat Sarawak tidak berhak ke atas subsidi tersebut yang merupakan wang pembayar cukai. 

"Suami atau isteri bukan rakyat Sarawak tidak layak menerima subsidi bagi kos kuarantin seperti mana yang dinikmati rakyat Sarawak. 

"Kos kuarantin tersebut dibiayai oleh wang daripada pembayar cukai dan oleh yang demikian bukan rakyat Sarawak tidak layak untuk subsidi ini," katanya kepada The Borneo Post menerusi WhatsApp di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang kebimbangan kos kuarantin yang tinggi yang perlu ditanggung oleh suami atau isteri bukan rakyat Sarawak untuk berjumpa semula dengan pasangan mereka yang merupakan rakyat Sarawak. 

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menasihatkan, suami atau isteri yang bukan warga Sarawak menangguhkan perancangan untuk berjumpa semula dengan keluarga masing-masing dengan mengambil kira situasi semasa dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan ketika penularan wabak COVID-19 ini. 

"Jika boleh bagi suami atau isteri yang bukan rakyat Sarawak yang berhasrat untuk bertemu semula dengan pasangan mereka di negeri ini, tolong tunggu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dikuatkuasakan lagi," tambahnya. 

Kumpulan Sokongan Suami atau Isteri Asing (FSSG) sebelum ini memberitahu akhbar Malay Mail bahawa suami atau isteri asing kepada warga Sarawak mengalami kesukaran untuk berjumpa semula dengan pasangan mereka di negeri ini disebabkan oleh kos kuarantin tinggi. 

Suami atau isteri asing ini memberitahu, mereka terpaksa kos setinggi RM5,500 untuk kuarantin sahaja dan ini membebankan mereka. 

Advertisement