Anda di sini

AADK naik taraf PUSPEN Sukarela bagi menarik penagih

Advertisement
 Pendekatan Sukarela’ di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi semalam. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Dr Sabri Zainudin Zainul (kiri) dan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat PUSPEN Sungai Besi Datuk Seri Ahmad Sukimi Ibrahim (kanan). — Gambar Bernama
PELANCARAN: Zulkifli (tengah) melakukan gimik ketika Majlis Pelancaran Modul ‘Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela’ di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi semalam. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Dr Sabri Zainudin Zainul (kiri) dan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat PUSPEN Sungai Besi Datuk Seri Ahmad Sukimi Ibrahim (kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menaikkan taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sukarela di seluruh negara bagi menarik mereka yang mengalami masalah penagihan dadah untuk tampil secara sukarela.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata PUSPEN Sukarela penting kerana menjadi salah satu kaedah untuk menggalakkan ramai lagi individu-individu yang menghadapi masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah untuk tampil secara sukarela.

Beliau berkata kajian menunjukkan individu yang datang secara sukarela untuk menerima rawatan di PUSPEN Sukarela lebih kekal pulih, oleh kerana mereka datang atas inisiatif sendiri dan lebih sedia menjalani program-program rawatan.

“Proses menaikkan taraf  ini akan dilakukan melalui dua komponen, iaitu satu daripada segi infrastruktur pusat-pusat ini untuk dijadikan lebih kondusif dan lebih sesuai bagi kumpulan yang datang secara sukarela.

Kedua daripada segi modul yang digunakan dalam program-program rawatan itu sendiri, kita telah menambah baik supaya modul lebih sesuai dan berkesan bagi yang datang secara sukarela dengan mengambil kira kedudukan mereka,” katanya dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela AADK di PUSPEN Sukarela Sungai Besi di sini, semalam.

Zulkifli berkata proses menaik taraf infrastruktur bagi 11 PUSPEN Sukarela di seluruh negara telah pun berjalan untuk tahun ini dengan kos kira-kira RM500,000 yang dibelanjakan dan kerajaan juga meluluskan AADK untuk meneruskan kerja-kerja menaik taraf sehingga tahun hadapan dengan menyediakan dana sebanyak RM3 juta.

Sementara itu, beliau berkata ketika ini 19 peratus (800 orang) individu yang menerima rawatan di PUSPEN Sukarela seluruh negara, dan pihaknya meletakkan sasaran untuk menambahkan bilangan itu sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus pada tahun hadapan. — Bernama

Advertisement