Anda di sini

Puteri Diana buat penampilan sulung dramatik dalam ‘The Crown’

Advertisement
 Gambar fail yang diambil pada 27 Januari 1988 ini menunjukkan Puteri Diana melambai ke arah orang ramai semasa kunjungannya ke Footscray Park di subbandar Melbourne. Lebih dua dekad selepas kematiannya, kemasukan malang Puteri Diana ke dalam kerabat diraja Britain menjadi jalan cerita utama dalam musim keempat yang sudah lama dinantikan bagi drama popular ‘The Crown’. — Gambar AFP
DALAM ‘THE CROWN’: Gambar fail yang diambil pada 27 Januari 1988 ini menunjukkan Puteri Diana melambai ke arah orang ramai semasa kunjungannya ke Footscray Park di subbandar Melbourne. Lebih dua dekad selepas kematiannya, kemasukan malang Puteri Diana ke dalam kerabat diraja Britain menjadi jalan cerita utama dalam musim keempat yang sudah lama dinantikan bagi drama popular ‘The Crown’. — Gambar AFP

LEBIH dua dekad selepas kematiannya, kemasukan malang Puteri Diana ke dalam kerabat diraja Britain menjadi jalan cerita utama dalam musim keempat yang sudah lama dinantikan bagi drama popular keluaran Netflix ‘The Crown’.

Emma Corrin, seorang aktres berusia 24 tahun yang tidak dikenali sehingga sekarang, membenam diri dalam watak muda Diana, dengan suara dan tatapannya yang lembut dari bawah jambul tebal.

Tetapi aktres itu mengakui dalam satu temu ramah bersama akhbar The Sunday Times bahawa dia merasai “tekanan yang amat besar” untuk menjayakan watak itu dalam musim baharu yang kini ditayangkan di Netflix.

Diana ditonjolkan sebagai seorang remaja naif yang dengan cepat rasa sunyi sebagai tunang Putera Charles dan bermain kasut roda di sekeliling Istana Buckingham untuk mengisi masa.

Sebelum rumah tangga mereka yang tidak bahagia lagi, dia memulakan kitaran bulimia: makan mengikut nafsu dan kemudian membersihkan diri daripada makanan.

Diana Spencer baharu berusia 20 tahun ketika pasangan itu berkahwin pada 1981, ketika Charles berusia 32 tahun.

Sebagai pewaris takhta, sejak dia mencapai lingkungan usia 30an, dia berdepan dengan tekanan untuk berkahwin bagi memastikan pewarisan.

Walaupun ada keraguan, dia bersetuju untuk melamar Diana tetapi tidak memutuskan hubungan dengan kekasih lamanya, Camilla Parker-Bowles.

Diana terbunuh dalam satu nahas kereta di Paris pada 1997 dan Charles akhirnya mengahwini Parker-Bowles pada 2005.

Sementara siri sebelum ini menggambarkan Charles sebagai seorang budak yang sensitif dan tidak difahami, sebagai suami Diana, dia dilihat sebagai dingin dan tidak setia, malah mengadu kepada Camilla bahawa Diana “begitu lemah, begitu rapuh”.

Charles, yang rasa tidak berupaya untuk membantu Diana, “mungkin menjadi kurang berperasaan sedikit”, kata Penny Junor, seorang pakar diraja dan penulis biografi termasuk buku ‘Charles: Victim or Villain?’, kepada AFP.

“Tetapi saya tidak fikir dia bongkak atau tidak mengambil berat. Dan saya rasa dia benar-benar berusaha untuk menjayakan rumah tangganya.”

- ‘AMAT TIDAK PADAN SAMA SEKALI’ -

Diana telah “dirosakkan” oleh zaman kanak-kanaknya, kerana dia baharu berusia enam tahun ketika ibunya meninggalkan keluarga mereka dan “dia membesar dengan rasa tidak disayangi dan tidak diingini”, kata Junor.

Perkahwinan Charles dan Diana “amat tidak padan sama sekali”, tambahnya.

Keruntuhan rumah tangga mereka kerana kecurangan dan temu ramah televisyen Diana yang bersifat pengakuan mencetuskan skandal ketika itu dan malah masih menjadi berita hangat pada hari ini.

BBC telah berjanji untuk mengadakan siasatan bebas untuk mengetahui bagaimana wartawannya Martin Bashir memujuk Diana untuk mengambil bahagian dalam temu ramah sensasi tersebut pada 1995.

Abang Diana, Charles Spencer, mendakwa Bashir menunjukkan dokumen palsu untuk memujuk Diana mengambil bahagian dalam temu ramah itu, di mana Diana mengadu “rumah tangga ini ada tiga orang, jadi ia sedikit sesak”.

“Dia mahu melukai dan merosakkan Charles. Tetapi saya rasa dia adalah seorang wanita yang sangat rapuh, kesihatan mentalnya sangat rapuh,” kata Junor.

“Saya rasa ramai orang menggunakannya untuk matlamat mereka sendiri dan BBC adalah antara mereka.”

- WATAK WANITA YANG TEGAS -

Cinta tiga segi berkenaan merupakan salah satu jalan cerita utama pada musim keempat, yang meliputi masa pada hujung tahun 1970an dan tahun 1980an.

Tempoh itu dicorak oleh keganasan berdarah yang ada kaitan dengan pemerintahan Britain di Ireland Utara, termasuk pembunuhan datuk saudara Charles yang menjadi tempatnya mengadu, Louis Mountbatten, oleh IRA pada 1979.

Ia turut meliputi Perang Falklands dengan Argentina pada 1982 di mana adik Charles, Andrew, berkhidmat sebagai seorang juruterbang helikopter Tentera Laut Diraja.

Penulis skrip turut menjadikan drama satu insiden terkenal pada tahun itu di mana seorang lelaki berusia 33 tahun, Michael Hagan, yang kecewa kerana menganggur dan berpisah dengan isterinya, meme-cah masuk ke dalam Istana Buckingham dan memasuki bilik tidur ratu.

Watak ratu, dengan ketenangannya yang legenda, sekali lagi dibawa oleh Olivia Colman, aktres British yang memenangi anugerah Oscar untuk ‘The Favourite’ pada tahun 2019.

Dalam siri kelima, dia akan menyerahkan watak ratu yang lebih tua kepada Imelda Staunton yang berusia 64 tahun dan terkenal dengan wataknya sebagai Dolores Umbridge yang kejam dalam filem-filem ‘Harry Potter’.

Aktres Amerika Syarikat Gillian Anderson membawa watak Margaret Thatcher, wanita pertama yang mengetuai kerajaan Britain, pada musim yang didominasi watak-watak wanita yang tegas.

‘The Crown’, sebuah siri yang dipuji oleh pengkritik dan popular, mula-mula bersiaran pada 2016 dan sudah memenangi banyak anugerah, termasuk tiga anugerah Golden Globe dan 10 Anugerah Emmy.

Seramai 73 juta orang sudah menonton sekurang-kurangnya satu episod siri tersebut, kata Ted Sarandos selaku ketua pegawai kandungan dan ketua eksekutif bersama Netflix, pada Januari lalu. — AFP

Advertisement