Anda di sini

Kastam sita 19 unit kontena termasuk minuman keras, barangan kurang ikrar di Sibu

Advertisement

(Mengemas kini maklumat dengan menambah barangan kurang ikrar pada tajuk berita dan perenggan pertama. Utusan Borneo memohon maaf atas kesilapan tidak disengajakan.)
 

Antara barangan yang dirampas oleh pegawai Kastam dalam operasi berkenaan.
Antara barangan yang dirampas oleh pegawai Kastam dalam operasi berkenaan.

SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sarawak menahan 19 unit kontena yang mengandungi 520 jenis barangan kurang ikrar serta tidak diikrar, termasuk minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran nilai sebanyak RM1.46 juta termasuk cukai di Pelabuhan Rajang baru-baru ini.

Kejayaan itu adalah hasil kolaborasi antara Cawangan Operasi Darat Kastam Kuching dan Pusat Risikan Kastam Zon 6, Sarawak dalam satu operasi khas, Ops Undikar, pada 23 Oktober lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Herman Shah  Abdullah  dalam satu kenyataan semalam, berkata, barangan yang dirampas termasuk 12,172.01 liter (dalam anggaran) pelbagai jenama minuman keras dan lapan orang ejen kastam yang membuat pengikraran dagangan tersebut turut ditahan untuk membantu siasatan.

"Operasi tersebut memberi fokus kepada pengikraran dagangan import serta dagangan yang dipindahkan dari wilayah yang lain bagi memastikan dagangan yang dibawa masuk diikrar dengan betul dan benar selaras dengan kehendak Seksyen 79 Akta Kastam 1967," jelasnya. 

Katanya lagi, 19 unit kontena tersebut serta barangan kes disita dan dibawa ke Stor Penguatkuasaan Sibu, Jalan Deshon.

Herman berkata, modus operandi pihak ejen dan pengimport yang terbabit telah mengikrar dagangan sebagai barangan campur (China goods) dan mengikrar barangan di bawah kod tarif yang tidak bercukai atau peratusan cukai yang paling rendah.

"Pihak Kastam percaya dagangan juga diikrar sebagai barangan console dengan kuantiti tidak tepat atau kurang ikrar untuk  mengelak daripada membayar cukai yang tinggi," jelasnya lanjut.

Katanya, pemeriksaan dokumen serta pemeriksaan fizikal dijalankan bagi memastikan tiada unsur-unsur pengelakan pembayaran duti /cukai atau frod serta lain-lain pelanggaran peruntukan akta berlaku.

Katanya, barangan yang memerlukan permit import seperti bahan binaan dan minuman keras sengaja dimuatkan dan disembunyikan di bahagian belakang kontena dan ditutupi dengan barangan campur yang lain bagi mengelirukan pegawai Kastam yang membuat pemeriksaan.

"Bagaimanapun, Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan yang melakukan pemeriksaan rapi mendapati sebahagian barangan tidak diikrar dengan betul dari segi kuantiti manakala sesetengah barangan tidak diikrar langsung termasuklah 12,172.01 liter minuman keras pelbagai jenama yang memerlukan permit import selaras dengan peruntukan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017," tambahnya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Antara pelbagai jenama minuman keras yang dirampas di Pelabuhan Rejang Sibu dalam satu operasi khas tersebut.

Advertisement