Anda di sini

Perkukuh ekonomi digital, jadikan inklusif - PM 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Langkah mengadaptasi ekonomi digital dan inovasi berterusan terbukti memerlukan masa bagi menjana pekerjaan dan perniagaan untuk kekal relevan terutama dalam situasi begitu mencabar yang belum pernah terjadi berikutan penularan pandemik kesihatan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) hari ini.

Beliau berkata inovasi dan digitalisasi adalah asas dalam konteks ini, kerana pemboleh ataupun '’enablers'’ ini tidak hanya mempermudahkan usaha untuk mencergaskan kembali ekonomi tetapi turut menjaga kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

Muhyiddin berkata pandemik COVID-19 telah menunjukkan bahawa teknologi dapat membantu dan menyokong komuniti walaupun pergerakan terbatas.

"Namun, tanpa infrastruktur yang mencukupi dan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, kita berhadapan risiko mengecualikan kumpulan rentan kerana kurangnya akses mereka kepada alat digital.

"Oleh itu, mempromosikan kemasukan digital dan mengecilkan jurang digital dengan meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur ICT untuk kumpulan ini, adalah satu kemestian,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada acara APEC CEO Dialogues 2020 hari ini.

Pada masa ini, ekonomi APEC merangkumi kira-kira 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, separuh daripada perdagangan seluruh dunia dan 40 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

Muhyiddin berkata inovasi berterusan adalah perkara yang amat mustahak dalam era ini kerana ia adalah syarat awal untuk perniagaan kekal relevan.

Daya cipta, atau ada kalanya, penerapan dan menerima pakai teknologi digital canggih adalah asas utama pembangunan model perniagaan inovatif, dan teknologi digital ini sangat penting dalam menyokong dan meningkatkan proposisi nilai perniagaan dan pengusaha, katanya.

Muhyiddin turut menekankan keutamaan pertumbuhan ekonomi inklusif untuk memastikan bahawa tiada yang ketinggalan.

"Kita harus terus menerapkan pendekatan ekonomi yang memberikan penekanan khusus kepada wanita dan belia, tulang belakang ekonomi rantau ini," katanya.

Perdana Menteri maklum bahawa golongan belia juga tidak boleh diketepikan dan terus memastikan generasi muda ini dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang betul bagi membolehkan mereka menyumbang secara berkesan kepada masyarakat.

Rantau ini juga perlu meluang masa seketika untuk bukan sahaja mengakui bahawa perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka sememangnya menghasilkan kemakmuran yang lebih besar di Asia Pasifik tetapi turut menyedari hakikat bahawa keuntungan daripada perdagangan dan pelaburan tidak meresap ke seluruh segmen masyarakat.

"Malah sehingga hari ini, ada banyak lagi ruang untuk kita meningkatkan naratif perdagangan dan pelaburan dengan tujuan untuk memberikan nyata kepada semua, tambah beliau.

"Dengan semangat inilah, kita berharap dapat melaksanakan Visi APEC Pasca 2020. Visi ini, yang dijangka menggantikan Matlamat Bogor yang akan tamat akhir tahun ini, akan menjadi panduan kepada  tugasan APEC selama beberapa dekad akan datang. Ia juga akan menyediakan pemboleh yang akan memacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran bagi rantau ini,” tambah beliau.

Muhyiddin berkata, APEC juga perlu mengesahkan sokongan serta komitmen terhadap sistem perdagangan berasaskan peraturan yang disifatkan beliau sebagai penting untuk perniagaan ketika kestabilan dan kebolehjangkaan pasaran menjadi teras untuk memastikan aliran perdagangan dan pelaburan berterusan, termasuk ketika berlakunya krisis.

“Bagi tujuan itu, mekanisme penyelesaian pertikaian di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang berfungsi dengan baik, turut menjadi kaedah utama untuk kalangan negara-negara meleraikan perbezaan masing-masing.

 “Malah, tidak kurang pentingnya adalah untuk kita kembali komited terhadap teras APEC serta matlamat perdagangan dan pelaburan bebas serta terbuka di rantau ini. Ini penting dalam usaha kita untuk membangunkan semula ekonomi dalam tempoh-tempoh selepas pandemik itu,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, sebagai entiti ekonomi, APEC juga perlu terus sensitif terhadap keperluan sektor swasta dan terus mewujudkan persekitaran yang dapat meningkatkan keyakinan perniagaan.

Beliau juga menekankan bahawa APEC memainkan peranan penting untuk mengemudi usaha pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19 dan rantau itu perlu menjalankan perdagangan dan pelaburan untuk membolehkannya keluar daripada kemelesetan ekonomi semasa.

“Kita perlu bekerjasama dan berusaha secara konstruktif bagi mengemudi rantau ini di laluan pertumbuhan dan pemulihan ekonomi yang kukuh, inklusif dan mampan,” katanya.

Acara yang diadakan secara maya itu dan bertemakan “APEC Re-Imagined: Priorities in the Aftermath of COVID-19,” dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC). - Bernama  

Advertisement