Anda di sini

Penganggur serang abang guna kerambit dipenjara lima tahun 

Advertisement
Tertuduh keluar dari kamar mahkamah selesai prosiding hari ini.
Tertuduh keluar dari kamar mahkamah selesai prosiding hari ini.

KUCHING: Tindakan seorang penganggur yang memiliki sebilah kerambit dan cuba menikam abangnya menggunakan senjata tersebut membawa padah apabila dia dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mohamad Ridzuwan Aris, 29, mengaku bersalah sejurus dua pertuduhan di bawah dua Seksyen berasingan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah. 

"Mahkamah menetapkan tertuduh dipenjara lima tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya di tempat awam. 

"Sementara itu bagi pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama kerana sengaja mendatangkan kecederaan, tertuduh dipenjara lima tahun," ujar Hakim Steve Ritikos semasa menjatuhkan hukum. 

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 18 November 2020. 

Mengikut keterangan kes, abang tertuduh yang berusia 35 tahun, juga merupakan mangsa dalam kes ini, ditikam oleh tertuduh dan mengakibatkan kecederaan di pergelangan tangan dalam kejadian bertarikh 10 November, jam 8.30 malam di luar rumah mereka yang terletak di Kampung Lidah Tanah, Bau. 

Menurut laporan terdahulu, kejadian berlaku apabila tertuduh bersenjatakan pisau kerambit cuba menakut-nakutkan orang ramai iaitu sekitar jam 8.30 malam di hadapan sebuah masjid di kampung tersebut. 

Mangsa kemudian menegur perbuatan tertuduh dan ia menyebabkan tertuduh tidak berpuas hati sehingga dia bertindak menyerang mangsa. 

Mangsa kemudian terus membuat laporan polis berhubung kejadian demi keselamatan diri serta keluarga. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Ilham Kamaruddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.  

  • oleh
  • Advertisement